PETALING JAYA: Kabinet meminta semakan rang undang-undang anti lompat parti, lima hari sebelum persidangan khas Dewan Rakyat mengenai perkara itu.
Sumber berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan mesyuarat Ahad ini mengenai RUU itu.“Semua ahli Parlimen dan senator akan dipanggil.” katanya.
Bagaimanapun, pembentangan pindaan perlembagaan berkaitan RUU itu akan berlangsung pada Isnin, untuk memastikan akta anti lompat parti tidak akan melanggar perlembagaan.
“Akta itu sendiri tidak akan dibentangkan pada Isnin. Apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, akta itu tidak lagi memerlukan majoriti dua pertiga.”
FMT difahamkan, kerajaan sedang menyelesaikan beberapa isu termasuk apa yang ditakrifkan sebagai lompat parti.
“Ini termasuk sama ada wakil rakyat yang menang sebagai calon bebas akan lompat parti jika dia menyertai parti politik atau jika ahli Parlimen yang menyertai parti lain selepas dipecat oleh partinya.”
Seorang menteri persekutuan yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, kerajaan mahu menyelesaikan perkara penting seperti definisi “lompat”.
Seorang lagi menteri enggan dikenali berkata, kerajaan tidak bercadang menangguhkan RUU itu.
Tetapi pindaan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan memperkenalkan RUU anti lompat parti perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Kita ke arah itu. Orang ramai asyik bercakap mengenai RUU anti lompat parti sehingga mereka lupa bahawa kita harus mulakan dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan dahulu.
“Bila dah lulus kita boleh perkenalkan RUU anti lompat parti,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook meminta semua parti politik menyatakan pendirian sama ada ahli Parlimen mereka akan menyokong RUU anti lompat parti di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Dalam catatan di Facebook, ahli Parlimen Seremban itu menegaskan RUU yang ditunggu-tunggu itu mesti disokong sekurang-kurangnya 148 ahli Parlimen untuk diluluskan kerana ia memerlukan majoriti dua pertiga kerana melibatkan pindaan perlembagaan.
Bekas menteri pengangkutan itu berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memberi komitmen bahawa beliau akan mengundi menyokong RUU itu.
Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan kepada Ismail semalam bahawa semua ahli Parlimennya akan menyokong RUU itu, manakala Ismail berjanji tidak akan ada perubahan pada sidang khas itu.
Bawah memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara PH dan Putrajaya tahun lalu, RUU anti lompat itu sepatutnya dibentangkan pada persidangan pertama Dewan Rakyat tahun ini, yang berakhir bulan lalu.
Bagaimanapun, Kabinet memutuskan RUU itu masih memerlukan perbincangan lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain khususnya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat.