jika undi Atas Pagar kembali, PH menang
Kelemahan dan kekalahan Pakatan Harapan (PH) terutama di kawasan Melayu dalam 3 siri Pilihan Raya Negeri (PRN) kebelakangan ini dirumuskan kepada hilangnya sokongan pengundi Atas Pagar yang enggan keluar mengundi.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, sekiranya PH berjaya mengembalikan sokongan pengundi Atas Pagar maka strategi untuk menentukan pemenang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 akan menjadi lebih mudah.
“Dari PRN lepas nampak seperti pengundi Atas Pagar terutama Melayu, yang mana pengundi ini pada 2018 mengundi PH, tidak ada tanda tanda mereka beralih kepada BN, kerana undi BN tidak meningkat. Dalam semua PRN undi BN kekal 40%. Hampir sama dengan 2018.
“Cuma dalam PN, lepas Bersatu bergabung dengan Pas, walaupun jumlah pengundi tegar mereka kecil tetapi atas kelemahan PH rentetan perebutan politik, saya nampak ada peralihan pengundi Atas Pagar ke arah PN. Jadi ini mewujudkan 3 gabungan yang dikatakan sama kuat. Dalam keadaan ini, kalau PH tidak berhati hati persaingan itu ada kemungkinan di kawasan pengundi Melayu tinggi, perebutan itu hanya terjadi antara BN dan PN.
“Itu menyebabkan PH di tempat ketiga. Kalau PH ketiga dalam dinamik politik di UK, Australia atau di mana mana, parti ketiga itu kurang mendapat tempat kerana pengundi Atas Pagar yang tentukan menang, bukan penyokong tegar,” katanya.
Justeru, Rafizi mengimbau sokongan lumayan yang dinikmati PH dalam PRU 2018 lalu berikutan ketekadan pengundi Atas Pagar yang mahu membuat perubahan.
Katanya, beliau paling banyak berkempen kepada segmen pengundi sedemikian dan mendapati arus Atas Pagar itu membawa perubahan yang real di atas kertas undi.
“Dulu saya yang banyak menjalankan kempen kepada pengundi pengundi begini. Saya kurang berminat soal dalaman parti. Kempen saya ialah dengan rakyat dan pengundi Atas Pagar. Itu peranan dan ruang yang boleh saya ambil sekarang.
“Kita kembali dekati pengundi Atas Pagar, bawa isu mereka supaya imbangan itu boleh diperbetulkan semula.
“Bagi saya negara perlu ada persaingan alternatif politik kepada rakyat. Kalau sau pihak seperti Umno gunakan politik perkauman yang telah dijalankan Umno selama ini, alternatif mestilah politik idea dan perubahan sistem.
“Masalah kita sekarang kerana politik yang dibangunkan Umno selama 60 tahun, dan kita sampai ke peringkat teruk dan kronik kalau sistem itu tidak diubah,” katanya.
Bagi mantan Ahli Parlimen Pandan itu, pendekatan yang digunakan PH dalam mendekati Atas Pagar sejak 2 tahun lalu didapati tidak tepat sehingga tidak menarik minat golongan berkenaan.
Katanya, harus ada pendekatan menyerang Umno dan polisi kerajaan secara mendasar dan serangan itu akan menarik perhatian Atas Pagar kerana mereka boleh membuat perbandingan apa yang mereka akan dapat dalam proses politik dan pilihan raya.
“Seperti biasa dalam KEADILAN lebih kepada strategi untuk membawa parti ke hadapan. Dalam KEADILAN ada dua pemikiran selepas kalah 3 PRN.
“Di satu pihak seperti saya, Nurul Izzah, pimpinan yang lebih muda, kita lebih tertumpu kepada bagaimana mendekati pengundi dan rakyat di luar. Pandangan kami ialah untuk melonjakkan KEADILAN dan membantu PH dalam PRU akan datang, kita kena kembali kepada asas yang meletakkan KEADILAN dekat dengan rakyat.
“Maksudnya kita sentiasa mengambil berat dan peka kepada isu yang menjadi isu harian rkayat. Kita kena membentangkan idea yang radikal.
“Mungkin lawan kami seperti Umno tak suka kerana idea radikal ini menyebabkan mereka kena jawab balik. Tetapi itulah yang membantu meletakkan politik negara, ada percambahan idea.
“Pengundi Atas Pagar suka perkara ini kerana mereka kenal siapa yang boleh membantu hidup mereka,” katanya.
Rafizi percaya dengan kepimpinan yang cekap dan berpengetahuan, hal itu lebih penting daripada berkerjasama dengan sesiapa sahaja demi mendapatkan kuasa.