Anggota KEADILAN perlu memeriksa diri
sendiri dan jangan salahkan rakyat kerana kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)
baru baru ini.
Menurut Ahli Parlimen Selayang, William
Leong Jee Keen, anggota parti perlu bertanya apakah penyebabnya selepas menang
besar dalam Pilihan Raya Umum ke 14 tiba tiba kalah teruk dalam PRN.
"Kita melihat gelombang yang besar
pada PRU 14 membawa kita ke Putrajaya. Dalam 24 bulan lepas Langkah Sheraton
sokongan rakyat kepada kita jatuh. Parti kita kalah semua kerusi di Melaka dan
Sarawak.Di Johor kita menang 1 kerusi
"Kita mesti ambil perhatian bahawa
kita tidak boleh ambil mudah sokongan rakyat. Kita mesti lihat kepada parti
kita sendiri. Bukan salahkan rakyat tetapi kita salahkan kita sendiri.
"Supaya kita dapat menarik balik
keyakinan rakyat kepada kita. Ini adalah peluang kepada kita dalam pemilihan
parti yang akan bermula bulan ini," katanya da;am ucapan perasmian
Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Kota Raja, petang tadi.
Di samping itu William juga menyerukan
agar pemilihan KEADILAN 2022 dibuat dalam suasana yang matang dan harmoni serta
tidak meretakkan parti.
"Saya ada tiga mesej kepada rakan
rakan. Pertama marilah kita bertanding dengan cara aman damai, berhemah dan disiplin.
"Kedua, untuk menarik balik
keyakinan dan kepercayaan rakyat, kita sebagai anggota yang diberikan kuasa,
satu anggota satu undi hendaklah memilih dengan kebijaksanaan.
"Pemilihan parti dahulu ramai
telah silap pilih. Pemimpin kata konon setia kepada parti akhirnya setia kepada
diri sendiri. Jangan silap lagi. Ini peluang terakhir sebelum PRU 15 untuk kita
laksana tanggungjawab kita, hapuskan unsur pengkhianatan yang masih ada dalam
parti kita," katanya.
Selain itu, katanya, memilih pemimpin
yang betul juga penting kerana boleh menentukan siapa yang akan menjadi calon
dalam pilihan raya atau dalam pentadbiran tempatan.
"Saya minta anda, bila ada peluang
jumpa calon calon yang akan bertanding untuk jawatan tinggi, tanya kepada
mereka apakah pendirian sesuatu calon tentang Fasa 39.1. Iaitu kuasa dan
tanggungjawab diberikan kepada cabang untuk mencadangkan calon bagi pilihan
raya Dewan Rakyat dan DUN termasuk Ahli Majlis. Jangan pandang remeh kepada
suara cabang dan akar umbi kita.
"Kita sebagai anggota tempatan
mengetahui siapa yang layak untuk menjadi calon dan ini harus diambil kira oleh
majlis pimpinan negeri dan pusat," katanya lagi.