Pas tetap istiqamah pertahan hubungan dengan Umno, Bersatu berhasrat kerjasama dengan Pejuang
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya tetap istiqamah dalam mempertahankan kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada September 2019.
Pendirian Ahli Parlimen Marang itu ketika Bersatu telah berhasrat untuk bekerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sebelum ini, Pas mendapat kritikan Umno apabila dilihat terus bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) berbanding Umno di bawah MN.
“Kita berhubung dengan semua orang, kita terbuka (kerana) nak menyatukan ummah, menyatukan orang Islam, menyatukan masyarakat majmuk.
“Kita usaha nak menyatukan MN, tak terhad kepada dua parti sahaja (Pas dan Umno). Mana-mana parti yang boleh terima konsep kita, dasar itu (iaitu) perpaduan ummah kita terima.
“Kita masih usaha (pertahankan MN) selaras (usaha) dengan PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di Marang hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, berkata parti berkenaan belum mengadakan perbincangan berhubung hasrat Bersatu untuk bekerjasama dengan Pejuang.
Jelasnya, Pas hanya mengetahui mengenai cadangan kerjasama itu melalui laporan media.
“Kita belum bincang, kita hanya tahu melalui media saja dan kita tidak ada mesyuarat lagi,” katanya.
Semalam, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memaklumkan Bersatu mencadangkan kerjasama dengan Pejuang untuk menghadapi PRU-15.
Mukhriz berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah bertemu Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, kira-kira dua minggu lalu, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi perbincangan awal.