Ini soal prinsip -
Anwar jawab sindiran majoriti 'kukuh, meyakinkan'
WAWANCARA | Dua tahun lalu, Ketua Pembangkang
Anwar Ibrahim mengumumkan dia telah berjaya mendapatkan sokongan yang "meyakinkan, kukuh dan kuat" untuk membentuk
kerajaan, dalam usaha merebut kembali Putrajaya untuk Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, sejak itu kenyataan itu
dijadikan bahan sindiran selepas pengerusi Pakatan Harapan itu gagal menunaikan
janjinya, malah ada yang meragui jika Anwar benar-benar mempunyai majoriti
sokongan seperti yang didakwa pada sidang media 23 September 2020.
Diminta untuk menilai semula perkara ini
semasa wawancara khas pada Isnin, Anwar bercakap mengenai bagaimana
rancangannya telah meleset.
"Bila saya sebut sokongan convicing (meyakinkan), formidable (kukuh), walaupun diperolok-olokkan,
itu berdasarkan surat ketua-ketua parti yang memang jumlahnya itu convincing dan formidable.
ADS
"Itu dua tahun lalu. Saya masih
pertahankan surat itu ada," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini, The Vibes dan Sinar Harian di pejabatnya di Bukit Gasing,
Petaling Jaya.
Anwar tidak menyatakan parti politik dan
ahli parlimen di luar PH yang setuju menyokongnya ketika itu, tetapi
dikhabarkan mereka termasuk wakil rakyat Umno dan beberapa pemimpinnya yang
menghadapi perbicaraan jenayah di mahkamah.
Tak sedia campur tangan kehakiman
Memandangkan sudah mendapat jumlah sokongan
ketika itu, Anwar berkata dia kemudiannya membentangkan senarai prinsip kepada
mereka yang akan bekerjasama dengan PH.
Ia termasuk syarat bahawa dasar kerajaan
tidak boleh dikompromi, bahawa mereka akan menolak sentimen perkauman yang
sempit dan rasuah, serta mematuhi tadbir urus baik dan tidak boleh merampas
kepimpinan negara.
Ahli parlimen Port Dickson itu juga berkata
dia enggan campur tangan kehakiman untuk melepaskan ahli politik yang
menghadapi perbicaraan jenayah di mahkamah.
"Paling tegas saya lakukan adalah tidak
bersedia untuk campur tangan urusan badan kehakiman yang semestinya bebas dan
berwibawa.
"Kerana kita juga ada pengalaman dengan
badan kehakiman ini. Syarat-syarat kalau disenangi pendirian saya, ok.
"Kalau nampak tidak boleh terima, tidak
sokong, itu masalah mereka," kata Anwar.
"Pokoknya begini, kerana syarat itulah
saya gagal menjadi perdana menteri, tapi saya tidak boleh khianat amanah
rakyat," jelas presiden PKR lagi.
Dipatuk ular di lubang sama dua kali
Cubaan Anwar untuk membentuk kerajaan pada
September 2020 berlaku kira-kira enam bulan selepas pentadbiran PH runtuh
akibat rampasan kuasa politik yang digelar sebagai Langkah Sheraton.
Ia menyaksikan Bersatu, yang pernah menjadi
sebahagian daripada PH, menarik sokongannya dan membentuk satu lagi gabungan
dengan beberapa parti lawan termasuk Umno, PAS dan gabungan GPS yang
berpangkalan di Sarawak.
Sementara itu, wawancara bersama Anwar turut
menyentuh Bersatu yang baru-baru ini memulakan misi membentuk kerjasama dengan
parti politik lain untuk menentang Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya
umum akan datang.
Ditanya jika PH bersedia untuk bekerjasama
dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu sekali lagi selepas apa yang berlaku
pada 2020, Anwar memberikan jawapan panjang lebar dengan isyarat yang pelbagai.
Pada satu ketika, pemimpin pembangkang itu
bercakap tentang keraguannya terhadap bekerjasama dengan 'parti yang tidak
mempunyai prinsip dan tidak mempunyai kepimpinan yang jelas' dan bahawa PH
tidak sepatutnya "dipatuk ular yang sama dua kali."
"Ini semua satu peringatan yang sangat
keras. Agar pimpinan kita berwaspada senantiasa," katanya.
Bagaimanapun, Anwar juga berkata sebagai
seorang pemimpin dan seorang penganut Islam, dia mesti bersedia untuk
berbaik-baik dengan mereka yang ikhlas untuk berdamai.
Dia memetik ayat 10, Surah Al Hujurat yang
mengatakan: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu
damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih)."
"Tapi kalau nak jadi pimpinan politik
dan kata jangan bincang dengan sesiapa, tak betul.
"Saya kalau perdana menteri minta jumpa
esok, saya ubah suai, saya jumpa. Walaupun dari segi politik itu permusuhan
politik.
“Bukan bermakna nak berdamai, bermakna untuk
menjalankan beberapa kerja dari segi soal negara, soal rakyat.
"Kalau saya jumpa PM itu untuk minta
projek komisyen DNB, itu haram namanya.
"Kalau untuk kebajikan, saya fikir
untuk jadi pemimpin yang diketengahkan di arus perdana, harus ada kesediaan
untuk tidak dilihat sebagai pemimpin kelompok atau parti yang sempit.
"Tetapi (pemimpin) yang keras
prinsipnya tegas, tapi ada kesediaan untuk berbincang ini dalam Sunnah
Rasulullah SAW. Ini yang berlaku dan kita tak lari dari itu," katanya.