Kempen Pemilihan KEADILAN 2022 rencam dengan pelbagai isu dan gaya
berkempen. Terbaharu calon calon yang bertanding ditanya mengenai ke mana hala
tuju parti yang akan mereka bawa sekiranya menang.
Calon Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution
Ismail berkata, pertanyaan sedemikian tidak wajar ditanyakan kerana hala tuju
parti biasanya di tetapkan oleh presiden.
"Hala tuju parti dalam sebuah organisasi akan digagaskan oleh
presiden. Pimpinan lain, apabila keputusan telah diketahui akan ada tempat
masing masing. Ada timbalan, naib, ketua wanita, AMK, MPP
"Sebelum presiden angkat gagasan hala tuju parti, presiden
akan berunding dengan semua pimpinan AMK, Wanita, MPP, Biro Politik.
"Presiden kata kongres tahunan tahun ini, saya sebagai presiden
akan menggagaskan hala tuju parti tahun ini dan tahun depan, tolong bagi
pandangan
"Kita pun buat mesyuarat bagi saranan. Kemudian olah dan
bentangkan dalam ucapan dasar presiden semasa kongres. Kemudian wakil negeri
akan bahas ucapan dasar presiden. Ekonomi, pendidikan, kebajikan, hubungan
antara parti, isu rakyat. Semua perwakilan negeri akan bercakap dalam
kongres," katanya.
Tambah Setiausaha Agung KEADILAN itu, dalam proses mesyuarat maka
pengerusi tetap akan memberi kesempatan kepada ahli ahli untuk mengundi usul
ucapan dasar presdien
"Bila usul presiden diterima. Presiden kemudian buat
penggulungan semua ucapan perwakilan. Presiden beri gagasan hala tuju,
dibentang dalam kongres, dibahas oleh perwakilan, digulung oleh presiden. Itu
akan menjadi hala tuju KEADILAN dalam setahun, dua tahun, tiga tahun.
"Hala tuju parti digagaskan oleh presiden dengan mengambil
kira semua pandangan pemimpin. Ini displin parti.
"Kalau kita jadi calon, ini hala tuju, aku nak bawa parti ke
sini. Naib presiden kata ini hala tuju aku. Satu kapal banyak nakhoda. Apa nak
jadi KEADILAN ini?" tanyanya.
Bagi Saifuddin, hala tuju parti perlu datang dari presiden dan
bukannya ditentukan secara peribadi oleh para pimpinan.
"Saya jelas hala tuju parti akan diletakkan asasnya oleh
presiden, pimpinan lain tolong bagi pandangan kamu dalam mesyuarat parti, Biro
Politik, AMK dan Wanita. Itu cara bergerak dalam parti yang namanya
KEADILAN," katanya lagi.