Gabungan parti pembangkang diperlukan menuju PRU
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tidak ada parti yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian sebagaimana BN suatu ketika dahulu dalam politik Malaysia pada masa hadapan.
Sehubungan itu, katanya, parti parti pembangkang wajar merundingkan gabungan politik sebelum memasuki pilihan raya untuk lebih mudah memberi rakyat pilihan.
“Kita juga melihat perubahan politik yang berlaku kebelakangan ini, apa dia perubahannya? Tidak ada satu parti politik tunggal yang mampu mengatakan bahawa mereka mempunyai peluang paling cerah untuk membentuk kerajaan secara sendiri.
“Hatta Umno pun tak boleh cakap begitu.
“Jadi pilihan raya akan datang, siapa yang berani mengatakan bahawa akan ada satu parti politik atau satu gabungan sekalipun mampu memerintah sendiri?” tanyanya dalam satu temubual bersama portal berita baru baru ini.
Menurut calon Timbalan Presiden KEADILAN itu, berdasarkan trend pilihan raya umum, belum tentu BN akan menguasai kerajaan pusat biar pun mereka telah menguasai beberapa Kerajaan Negeri dengan mudah.
Katanya, BN sukar untuk mendapatkan kembali majoriti 2/3 di peringkat Persekutuan, malah jika pembangkang mempunyai strategi tepat maka mungkin BN juga akan mengalami kesukaran membentuk kerajaan.
“Ini bukan macam pilihan raya dulu-dulu, di mana pilihan raya bermaksud BN akan kembali memimpin dengan dua per tiga majoriti.
“Keadaan berubah sekarang, sejak 2008, BN tiada dua per tiga majoriti, 2013 juga tiada dua per tiga majoriti, 2018 tumbang terus, dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini, itu adalah kesannya,” katanya lagi.
Saifuddin berharap pembangkang akan segera menemukan titik kebersamaan melawan musuh bersama dan memutuskan strategi terbaik menawan hati rakyat dalam beberapa bulan ini sebelum PRU diisytiharkan.