Kalau diselak bagaimana bermulanya cerita, Najib Razaklah yang mula-mula memetik nama Anwar Ibrahim untuk berdebat dengannya.
Ketika itu, Rafizi Ramli ditanya oleh seorang pengacara wanita sebuah portal berita sama ada beliau sedia atau tidak berdebat dengan Najib.
Ia berikutan kedua-dua mereka terlibat dalam pertikaian dan berbalas kenyataan berhubung isu Sapura Energy.
Rafizi lantas menjawab beliau sedia dan tidak ada masalah untuk berdebat dengan bekas Perdana Menteri itu yang sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah dan kesnya sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Agaknya, merasakan dirinya terlalu hebat dan sering disanjung dengan Bossku atau barangkali juga kerana keghairahan admin FBnya yang terlajak stim, Najib dengan pantas bukan saja turut sedia untuk berdebat dengan Rafizi, malah meminta diajak Anwar sekali untuk berdebat dengannya.
Seolah-olahnya beliau mahu berdebat dua lawan satu iaitu Anwar dan Rafizi bergandingan berlawan dengannya seorang diri.
Melihat bagaimana Najib ketika itu tampak begitu berani, cepat memberi respon dan seolah-olah dirinya pernah merangkul juara debat sedunia, sejujurnya kita tidak terbayang sama sekali beliau sanggup meminta ditangguhkan sehingga lepas Hari Raya semata-mata alasannya sekarang ini bulan puasa.
Tambahan lagi, Anwar yang dicabarnya itu sudah begitu sedia untuk berdebat dengannya pada bila-bila masa.
Kononnya, pihak Najib memberi alasan, di bulan puasa ini tidak sesuai untuk berdebat kerana ia bulan untuk ibadah dan perlu pergi solat terawih pada sebelah malamnya.
Lemah sungguh alasan kem Najib ini kerana debat tidak semestinya dibuat pada waktu malam, ia bahkan lebih sesuai diadakan pada waktu siang.
Jika bulan puasa dijadikan alasan, tidakkah kem Najib sedar di zaman Najib dulu, mereka malah berperang menegakkan agama di bulan puasa?
Jika dalam suasana padang pasir pun Nabi sanggup berperang di bulan puasa, kenapa Najib tidak sedia berdebat di bilik yang berhawa dingin di bulan puasa?
Apakah Najib jadi lemah seluruh badan dan otaknya terus tidak berfungsi kerana tidak makan di bulan puasa?
Apa pun, jika berani mencabar Anwar dan Rafizi berdebat dua lawan satu dengannya, sepatutnya jangankan di bulan puasa, di atas bara api pun Najib tidak cuba mengelak atau berdalih dengan alasan yang lemah.
Puasa bukan halangan untuk berdebat, yang tidak boleh dibuat di bulan puasa hanyalah berbuat jahat atau melakukan maksiat.
Kalau berjalan-jalan sampai ke Melaka pun boleh di bulan puasa sepertimana dilakukan Najib beberapa hari lalu dengan dua tiga program dilakukannya, apa logiknya beliau tidak boleh berdebat?
Najib…Najib…Najib….
Apakah ini hanya sekadar alasan?
Tidak mungkinkah bila tiba lepas Raya nanti, lain pula alasan dan helah diberi?
Mungkin nanti alasannya sibuk open house atau jadual ke mahkamah yang ketat.
Lagi pun, jika dulu laju saja Najib memberi komen berkaitan debat ini melalui FBnya jika ada benda-benda baru ditimbulkan, tapi kebelakangan ini beliau nampaknya semacam tidak berminat lagi bercakap berkenaan dengannya.
Adakah Najib sudah tak berminat?
Cuba cakap betul-betul – on atau tak on, berani atau takut?
Kan senang kalau cakap berterus-terang??? – ShahbudinHusin 14/03/2022.