Berbangga dengan perjuangan PKR
Ulang tahun ke 23 penubuhan KEADILAN tahun ini jatuh pada tempoh Pemilihan KEADILAN 2022, seharusnya membanggakan para anggotanya kerana perjuangan parti telah diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.
Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) tahun ini mengimbau nostalgia penubuhan awal cabang cabang KEADILAN lebih dua dekad lalu dalam serba kekurangan.
“Dua hari lagi KEADILAN akan genap 23 tahun penubuhannya. Melihat perkembangan dan sambutan yang diterima di Kedah pada hari ini, saya berbangga menjadi sebahagian daripadanya,” kata Saifuddin selepas memberi ucapan di MATC Pendang, semalam.
Cabang tersebut antara yang terawal ditubuhkan dan diasaskan oleh Almarhum Datuk Sheikh Azmi Sheikh Ahmad, bekas Mufti Pulau Pinang yang terlibat secara langsung dalam gerakan awal Reformasi 1998 dan juga penubuhan Parti Keadilan Nasional pada 1999.
“Cabang Pendang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang. Datuk Zulkifli Mohamad menerajui cabang ini. Datuk Johari Abdul Pengerusi KEADILAN Kedah merasmikannya.
“Saya dijemput menyampaikan pidato khas. KEADILAN Kedah diasaskan oleh Almarhum Sheikh Azmi Sheikh Ahmad dan Datuk Johari, Dr Abd Rahman Ahmad, Ahmad Kassim serta Zahir Ahmad adalah antara nama-nama lain yang terlibat,” katanya lagi.
Untuk rekod, Parti Keadilan Nasional (KeADILan) ditubuhkan pada 4 April 1999 manakala Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pula hasil gabungan KeADILan dan Parti Rakyat Malaysia pada 2003.