Debat antara Anwar Ibrahim dengan Najib Razak akhirnya
ditetapkan pada 12 Mei depan.
Ia akan dilangsungkan pada jam 9.00 malam di Dewan Tunku Canselor,
Universiti Malaya.
Debat itu nanti akan merangkumi tiga segmen – isu Sapura Energy,
hala tuju negara dan sesi soal dan jawab.
Apa yang diharapkan kini ialah program debat itu nanti
benar-benar akan menjadi kenyataan dan tidak muncul alasan tertentu seperti
keselamatan misalnya di saat-saat akhir bagi tujuan membatalkannya.
Juga diharapkan tidak berlaku tiba-tiba sakit atau masuk
hospital menjelang sehari dua sebelum tarikh debat yang telah ditetapkan.
Bagi yang biasa, berdebat tentulah tidak menjadi masalah, tetapi
bagi mereka yang pertama kali mencubanya, jangankan berpeluh dingin,
silap-silap boleh basah seluar dibuatnya.
Walaupun isu debat ini bermula daripada mulut calon Timbalan
Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika beliau ditanya mengenai kesediannya jika
dianjurkan berdebat dengan Najib, tidak menjadi masalah pun sebenarnya yang
menjadi kenyataan akhirnya ialah Anwar yang berdebat dengan bekas Perdana
Menteri itu.
Hakikat yang nyata, ini secara tidak langsung memperlihatkan
bagaimana Rafizi sebenarnya adalah gandingan yang paling sesuai dengan Anwar.
Belum pun menang dengan jawatan yang ditandinginya, Rafizi telah
pun berjaya melonjakkan nama Anwar dengan sewajarnya dan meletakkan Presiden
PKR itu kekal relevan untuk mendepani cabaran masa depan bagi kepentingan
rakyat dan negara.
Bayangkan jika Rafizi tidak menyebut mengenai kesediaannya
berdebat dengan Najib sebelum ini?
Bayangkan juga bagaimana gandingan Anwar - Rafizi dalam PKR
selepas ini?
Dalam hal ini, Rafizi telah berjaya menghantar bola kepada Najib
yang kemudian Anwar berperanan melibasnya.
Begitu pun, debat ini juga pasti memperlihatkan berterusannya
lagi kerjasama Rafizi dengan Anwar.
Dengan latar belakang dunia korporat yang dimilikinya, selain
beberapa tulisannya mengenai Sapura Energy dalam berbalas kenyataan dengan
Najib sebelum ini, mahu tidak mahu, Anwar amat memerlukan Rafizi untuk
membekalkan maklumat, fakta dan angka kepadanya dalam debat itu nanti.
Di sebalik hanya berperanan di belakang tabir dalam debat Anwar
dengan Najib itu, penglibatan Rafizi adalah penting dan tidak boleh diabaikan,
khususnya dalam segmen berkaitan Sapura Energy.
Dalam dua segmen lain iaitu tentang hala tuju negara dan soal
jawab, rasanya Anwar tidak ada masalah untuk mematahkan lidah Najib. –
ShahbudinHusin 17/04/2022.