Cabaran berdebat yang
dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak semalam disahut oleh Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataannya, Anwar menegaskan sangat menunggu nunggu
peluang berdebat melawan Najib kerana cabaran sama yang diutarakannya sebelum
ini tidak pernah disambut oleh bekas Menteri Kewangan itu.
"Saya ambil maklum lontaran cabaran debat dari mantan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun
lalu, di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi
tidak bersahut.
"Beliau kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan
setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut
‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak
terbela," katanya.
Anwar memetik pantun Melayu dalam melunaskan cabaran debat
tersebut:
'Tuan Puteri pergi ke Lukut,
Bawa pulang kacang panjang,
Sedikit pun hamba tak takut,
Kalau berani turun gelanggang'
"Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan
rakyat pada bila-bila masa dengan Datuk Seri Najib Razak," katanya lagi.
Semalam Najib yang sedang berpolemik menghadapi Naib Presiden
KEADILAN Rafizi Ramli di media sosial dalam mempertahankan idea menyelamatkan
Sapura Energy Berhad menggunakan dana awam, mencabar Rafizi dan Anwar untuk
berdebat dengannya secara 2 lawan 1.
Rafizi menyatakan beliau bersetuju dengan cadangan itu dan akan
menyampaikan undangan tersebut kepada Datuk Seri Anwar.