1. Sebagai Timbalan Menteri Agama, Yb Marzuk telah mengelirukan
dewan parlimen kelmarin (1March 2022) dalam jawapannya tentang TH Plantation.
Saya heran bagaimana pegawai TH yang bertanggungjawab membekalkan jawapan yang
tidak profesional ataupun Timbalan Menteri itu dari Pengkalan Chepa yang
menjawab ikut selera politik beliau.
2. Pertama beliau mendakwa zaman PH ladang-ladang tidak di baja
dengan baik sedangkan masalah ini ditanggung sejak 2016 lagi kerana masalah
kewangan yang dihadapi oleh TH Plantation. Soal hutang, kos pelaburan yang
tinggi, kos operasi menyebabkan kedudukan kewangan THP menyempit. Pada tahun
2015, THP dalam menangani masalah hutang membuat keputusan menjual TH Bakti
bernilai RM16.3 juta dan TH Gemas bernilai RM154juta kepada sebuah syarikat
swasta Dupont. Dalam kenyataan semasa penjualan tersebut CEO nya waktu itu
memberikan alasan mengurangkan beban hutang THP.
3. Masalah hutang sangat menekan kewangan THP menyebabkan sukuk
TH yang membiyai hutang THP gagal dilunaskan pada waktunya menyebabkan kesan
kepada pendeposit. Faktanya yang gagal dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Agama
ialah pada tahun kewangan 2018, THP menanggung hutang RM 1.24b dan pada suku ke
3 hutang meningkat kepada RM1.29b. Pegangan tunai menyusut dari RM50.6juta kepada
RM43.8juta. Keadaan ini memerlukan THP membuat rasionalisasi aset untuk
memastikan kestabilan kewangannya dan melunaskan hutang sukuknya kepada badan
induk TH.
4. Soalnya bukan jual aset seperti diapi-apikan tetapi ianya
soal menstrukturkan semula hutang THP dan kegagalan bayar balik hutang kepada
induk TH. Kegagalan ini menyebabkan rosot nilai yang akan menjejaskan
keseimbangan antara aset dan liabiliti dan akan terkesan kepada pengeluaran
dividen kepada pencarum. Itulah yang kami cuba atasi untuk menjaga kepentingan
aset lain yang membawa pulangan.
5. Soalan saya ialah apakah kedudukan hutang THP hari ini lebih
baik? Apakah THP mampu membayar hutang sukuk kepada TH induk mengikut jadual
kematangannya? Apakah kos operasi perladangan kini lebih baik dan apakah semua
ladang TH yang dibeli sebelum PH ambil alih semuanya tanah yang baik? Soal
harga sawit yang tinggi bukan menjamin keuntungan tetapi kos operasi, tanah
yang baik dan tekanan hutang perlu dibuat perkiraan. Yb Marzuk harus jujur
menjawab masalah THP tanpa perlu berdalih secara politik untuk menaikkan
sentimen dan mengelirukan dewan.
6. Jualan aset untuk penstrukturan hutang bukan menggadaikan
aset orang Islam tetapi keperluan menjaga aset- aset lain yang menguntungkan
supaya tidak terjejas pulangan menyeluruh kepada harta umat Islam. Jika trend
kenyataan seperti yang dibuat oleh Timbalan Menteri yang bertanggungjawab
kepada TH dibiarkan, pengoperasian THP yang tertakluk kepada perundangan
Suruhanjaya Sekuriti dan tersenarai di Bursa Saham akan terjejas kerana
campurtangan politik. THP tertakluk kepada semua obligasi fidicuary yang bebas
politik.
7. Selagi Yb Marzuk tidak menjelaskan kedudukan kewangan THP dan
tahap keberhutangannya serta mendedahkan berapa peratus tanah THP yang tidak
boleh ditanam sawit dan berapakah kos operasi THP saya menganggap dakwaan hasil
lebih baik dari zaman PH hanyalah dakwaan setengah masak. Hakikatnya Yb Marzuk
menutup sebelah mata kepada masalah lebih besar iaitu penstrukturan semula
hutang dan kos operasi yang tinggi dan itulah yang cuba dilakukan oleh saya
semasa PH menjadi kerajaan.
8. THP tidak dapat memenuhi jadual pembayaran sukuknya kerana
tidak mampu dan dalam keadaan berterusan begini, rosot nilai aset TH induk akan
menyumbang kepada keadaan kewangan TH dan sekaligus tidak dapat memberi dividen
yang seimbang kepada pendeposit umat Islam. Saya cabar pihak pengurusan THP
untuk menjelaskan bagaimana dilunaskan hutang-hutang ini tanpa penjualan aset
serta bagaimana rosot nilai dikira sehingga melayakkan dividen dikeluarkan
3.1%? Apakah duit reserve TH diambil lagi untuk tujuan tersebut?
Berhentilah meratib PH jual aset TH, PH jual ladang TH, PH jual
aset orang Islam kerana apa yang dilakukan ialah penstrukturan semula untuk
tujuan supaya Tabung Haji terus unggul dan berkembang dan pada waktu yang sama
memenuhi pematuhan akta TH dan obligasi fiducary yang bebas politik.
Alhamdulillah niat asal kami dibuktikan hari ini dengan kedudukan Tabung Haji
yang lebih baik, YB Marzuk masuk cuci kaki sahaja tapi sayang dia keliru dan
telah mengelirukan dewan.
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar
Pengerusi PH Perak.
2 March 2022