Perhimpunan Agung UMNO atau PAU2021 yang berakhir petang tadi sebulat suara meluluskan usul menangguhkan pemilihan parti selama enam bulan selepas PRU15 diadakan.
Bermakna, ini adalah penangguhan kali kedua yang mahu dinikmati UMNO setelah pemilihan parti semasa sudah pun ditangguhkan selama 18 bulan yang tempohnya berakhir pada 29 Disember tahun ini.
Tetapi, berbanding menangguhkan pemilihan selama 18 bulan sebelum ini adalah perkara yang memang tertulis dalam perlembagaan UMNO, menangguhkan lagi selama enam ini perlu membuat permohonan khusus kepada Pendaftar Pertubuhan atau RoS untuk kelulusan.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dalam ucapan penggulungannya berkata, sehubungan itu UMNO akan membuat permohonan segera kepada RoS berkaitan perkara tersebut.
Beliau juga meminta Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar campurtangan bagi memastikan permohonan itu tidak berdepan masalah.
Nampaknya belum apa-lagi Mohamad Hasan atau Tok Mat sudah pun menunjukkan kecenderungan untuk UMNO campurtangan dalam hal ehwal kerajaan.
Dalam masa yang sama, dengan penuh yakin beliau menegaskan, bersama lulusnya usul tersebut, bererti jika PRU15 diadakan pada tahun 2030 sekali pun, pemilihan UMNO hanya akan diadakan enam bulan selepas itu.
Kenyataan tersebut dengan sendirinya menggambarkan betapa begitu ghairah dan terdesaknya kepimpinan UMNO sedia ada mahu PRU15 tetap didahulukan berbanding pemilihan parti tanpa memperdulikan perlembagaan sendiri.
Soalnya, mampukah hasrat UMNO itu menjadi kenyataan kerana usul PAU bukanlah suatu perkara yang boleh mengubah atau mengatasi perlembagaan parti.
Perlembagaan UMNO hanya memberi kebenaran pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan dan tiada lagi penanggunan tambahan buat kali kedua dibenarkan selepas itu.
Akhirnya perkara ini adalah terserah kepada budi bicara RoS dan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung Bersatu sama ada mahu meluluskan atau sebaliknya.
Bagaimana jika permohonan UMNO itu tidak diluluskan?
Apakah UMNO sedia mengadakan pemilihannya sebelum 29 Disember tahun ini walaupun kiranya Parlimen belum lagi dibubarkan?
Atau jika permohonan itu ditolak oleh RoS, ia akan membuatkan UMNO lebih mengasak Ismail Sabri Yaakob hingga ke dinding agar segera membubarkan Parlimen secepat mungkin?
Inikah erti dan bentuk kestabilan bagi Zahid Hamidi yang kini menerajui UMNO?
Yang nyata, seperti ikan yang busuknya bermula daripada kepala, selagi UMNO dipimpin oleh pemimpin yang bermasalah, selagi itulah kecelaruan akan terus berlaku tanpa ada titik noktah.
Persoalan lain, tidak mungkinkah tindakan meluluskan usul menangguhkan pemilihan selama enam bulan selepas PRU15 itu suatu tindakan yang boleh menyebabkan UMNO diharamkan kerana melanggar perlembagaannya sendiri? – ShahbudinHusin 19/03/2022.