Rafizi Ramli
TOLAK SARANAN NAJIB
GUNA WANG RAKYAT SELAMATKAN SAPURA
Saya merujuk kepada
kenyataan Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 20 Mac 2022 yang
menggesa Kerajaan Persekutuan (melalui PETRONAS atau Khazanah Nasional) untuk
menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.
Beliau memberi alasan
rakyat (yang memiliki institusi-institusi seperti PETRONAS atau Khazanah
Nasional) akan kerugian besar jika Sapura tidak diselamatkan. Contoh-contoh
kerugian yang diberikan termasuklah kerugian kepada pemegang Amanah Saham
Bumiputera sebanyak RM4 bilion, kerugian kepada Maybank sebanyak RM10 bilion
dan kehilangan pekerjaan sebanyak 10,000 orang.
Selepas kemenangan
besar UMNO/Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri Melaka dan Johor, suara
seperti ini yang mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat untuk menutup
kerugian korporat semakin kuat kedengaran. Rekod pentadbiran UMNO/Barisan
Nasional, terutamanya semasa Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana
Menteri, menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku
apabila UMNO/Barisan Nasional merasakan mereka kuat dan tidak tercabar.
Sementara saya
simpati dengan nasib kakitangan Sapura yang berhadapan masa depan tidak
menentu, membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa kerat syarikat
korporat dalam keadaan semua perniagaan dan semua pekerja di segenap peringkat
menghadapi kesusahan adalah tidak adil.
Lebih-lebih lagi
apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun
disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu. Walaupun terus diberi
suntikan wang rakyat, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga
minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak
lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik).
Sekiranya gesaan
Dato’ Seri Najib Tun Razak ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh
digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan-usahawan kecil,
anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus
diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit, sedangkan semasa golongan
elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula
memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada
rakyat.
Saya akan terus
memantau isu ini dan membentangkan angka-angka dalam hari-hari yang seterusnya
untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea
pengurusan ekonomi dari Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Saya menunggu sama
ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah
menjawab semua isu di media sosialnya selama ini. Sekembalinya saya ke arena
politik, In Sha Allah setiap idea songsang dari Dato’ Seri Najib Tun Razak akan
menerima maklum balas dari saya.
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden KEADILAN