TIGA GOLONGAN PENGUNDI YANG JADI PENENTU DALAM PRN JOHOR

 

Ada tiga golongan pengundi dalam Pilihanraya Negeri Johor kali ini yang mampu mencorakkan politik Malaysia ke arah yang lebih baik.

Golongan pertama ialah golongan muda yang berumur 18 hingga 20 tahun.

Kedua ialah golongan dewasa berumur 21 hingga 29 tahun yang akan mengundi buat kali pertama kesan perlaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Dan ketiga golongan atas pagar yang mengundi secara pertimbangan yang bebas kerana tidak terikat kesetiaan kepada mana-mana parti politik.

Jumlah tiga golongan pengundi ini besar iaitu melebihi 700,000 orang daripada 2.7 juta keseluruhan pengundi Johor yang akan memilih pada 12 Mac akan datang.

Tiga golongan pengundi ini berpendidikan. Ramai yang lulusan kolej dan universiti. Ada sebahagiannya golongan profesional. Ada yang menganggur dan hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Tiga golongan pengundi ini boleh dianggap sebagai pengundi ekonomi. Mereka tidak berminat dengan retorik politik perkauman sempit atau politik agama sektarian.

Pengundi-pengundi golongan ini memikirkan tentang masalah kehidupan mereka sendiri.

Isu yang penting bagi mereka ialah soal pekerjaan, jaminan pekerjaan, isu gaji dan pendapatan, isu kos sara hidup yang tinggi dan masalah perbelanjaan keluarga serta persekolahan dan masa depan anak-anak mereka.

Ini bermakna mana-mana parti politik yang serius mengketengahkan agenda ekonomi untuk mengatasi masalah-masalah yang sedang dihadapi rakyat akan mendapat sokongan dari golongan pengundi atas pagar dan pengundi muda ini.

Manakala parti-parti politik yang memainkan sentiment kaum dan agama yang memecahbelahkan rakyat untuk memancing undi akan ditolak oleh pengundi-pengundi golongan ini.

Dalam Pilihanraya Negeri Johor kali ini, pengundi -pengundi ekonomi dari kalangan atas pagar ini akan memainkan peranan kuasa politik mereka untuk mempengaruhi parti-parti politik yang bertanding supaya memfokus dalam soal tatakelola pentadbiran negara yang baik dan dasar-dasar ekonomi pro-rakyat.

Siapa yang jelas membawa agenda rakyat itu, maka merekalah yang akan menang.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang.