Baru-baru ini saya telah diminta
memberi pendapat oleh sebuah media tempatan, samada tidak menggunakan bahasa
Malaysia dalam perhubungan harian kita itu menunjukkan bahawa kita tidak setia
kepada negara.
Saya
percaya, soalan ini ada kaitan dengan satu kejadian di mana Timbalan Menteri
Sumber Manusia Awang Hashim telah menegur seorang wartawan yang telah
mengajukan soalan dalam bahasa Inggeris kepada beliau.
Beliau
menegur wartawan itu dengan mengatakan bahawa pemberita harus menyoal beliau
dalam bahasa Malaysia sebagai bukti kesetiaan kepada negara dan tidak
mengajukan soalan dalam bahasa Inggeris kepada beliau.
Bagi
saya teguran timbalan menteri itu dangkal dan tidak kena pada tempatnya. Cuba
tanya pada diri kita, apakah tindakan, kelakuan atau perbuatan yang boleh kita
sabitkan bahawa seseorang itu taat setia atau tidak pada negara? Adakah kerana
tidak gunakan bahasa Malaysia dalam situasi dan keadaan mana sekali pun, lantas
kita label seseorang itu tidak setia pada negara.
Kalau
inilah menjadi persoalan, saya nak tanya, mengapa pemimpin-pemimpin negara kita
bilamana berucap di forum forum antarabangsa tidak mahu menggunakan bahasa
Malaysia tapi menggunakan bahasa orang putih? Tidak ada pula orang nak komen
bahawa mereka tidak setia pada negara.
Bagi
saya, di persada dunialah kita harus menonjolkan bahasa kita, tetapi ini tidak
pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin kita. Lihat Joko Widodo, Presiden
Indonesia. Apakah bahasa yang digunakan bila dia berucap di luar negara? Bahasa
Inggeris ke?
Jika kita terima teguran
timbalan menteri itu, kita boleh beranggapan bahawa semua pemimpin kita yang
tidak menggunakan bahasa Malaysia di forum antarabangsa adalah mereka yang
tidak setia pada negara. Boleh atau tidak kita menerima tanggapan saya ini?
Dan bila
kita dengar pemimpin kita yang ada sekarang berucap dalam bahasa Inggeris di
forum antara bangsa, badan saya merasa serum sejuk dan nak tergelak pun ada.
Kadangkala sebutannya itu berlainan dari sebutan asal. Kalau tak fasih bertutur
dalam bahasa Inggeris, inilah masanya mereka gunakan bahasa Malaysia.
READ MORE: Promoting the national
language: Steps in the right direction
Dan bagi
saya, nak jadi pemimpin negara dan nak menunjukkan bahawa kamu fasih berbahasa
Inggeris, kamu semua mesti belajarlah bersungguh bahasa Inggeris dengan betul.
Bagi
saya, lagi banyak kita menguasai bahasa asing, lagi bagus kerana bahasa itu
akan memperluaskan fahaman kita kepada banyak ilmu pengetahuan.
Taat
setia seseorang kepada negara bukan hanya terletak pada penggunaan bahasa
semata mata. Ianya lebih luas dari itu. Tidak ada dalam definasi ‘taat setia’
yang menyatakan bahawa bahasa itu boleh dikaitkan dengan taat setia seseorang
itu pada negara.
Taat
setia terletak pada jiwa dan semangat yang ada pada seseorang itu, dan dia
bersedia berbakti untuk negara dan rela berkorban nyawa demi untuk kepentingan
negara, dan tidak ada hubung kaitnya dengan bahasa.
Jika
sifat ini ada pada seseorang, maka dia mempunyai kesetiaan pada negara … tak
kiralah samada dia fasih bahasa Malaysia atau tidak, atau dari bangsa apa,
asalkan dia rakyat di negara ini.
Saya
tidak sekali kali mengatakan bahawa, sebagai rakyat Malaysia, kita tak perlu
fasih dalam bahasa Malaysia. Malahan, saya akui bahawa bahasa itu boleh menjadi
tali perhubungan bagi rakyat negara ini yang berbilang bangsa, bagi menjadikan
satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia.
Tapi
kita harus sedar bahawa negara ini mengandungi berbagai bangsa dan bahasa, dan
oleh itu setiap bangsa harus diberi kebebasan menggunakan bahasa ibunda mereka,
kerana itu satu sepakatan diantara pejuang-pejuang kemerdekaan kita dulu. Dan
ini mesti dihormati.
Kita
telah hidup dengan keadaan sebegini sekian lama, dan tidak pula kita mundur
kerana kita tidak menggunakan bahasa Malaysia. Malahan negara ini terkenal
sebagai sebuah negara yang ramai penduduk fasih dalam bahasa Inggeris dan
bahasa-bahasa lain.
Dan pelawat antarabangsa senang
datang ke negara kita kerana mereka mudah berhubung dengan kita dalam bahasa
Inggeris. Dan bilamana kita tidak menggunakan bahasa Malaysia kepada pelawat
luar negara, jangan pula kita dituduh tidak setia pada negara.
Kita
juga perlu ingat bahawa kita bukan sebuah negara yang terasing dan tersisih
dari negara-negara lain. Kita berada dalam sebuah benua yang mengandungi
ratusan buah negeri dan negara, dan setiap negeri menggunakan bahasa mereka
sendiri.
Kita
patut bersyukur bahawa kita mempunyai berbagai bangsa dan bahasa, dan terdapat
pula di kalangan bangsa kita ini yang menggunakan salah satu bahasa yang tertua
didunia ini, iaitu bahasa Tamil.
Bahasa
Tamil mengikut sejarah telah mula digunakan 5,000 tahun dulu. Adakah kita
sanggup menghapuskan bahasa tertua itu? Kita patut megah kerana adanya bahasa
tertua digunakan dinegara kita ini.
Biarlah
kita kekalkan sejarah kita di mana rakayt dari berbilang bangsa dan bahasa
telah hidup bersama beratusan tahun, tapi tidak sekali pun mereka mahu
hancurkan sesuatu bahasa kaum lain yang bukan dari kaum mereka. Ini satu
keunikan rakyat Malaysia, dan saya jemput semua pemimpin politik kita fahami
perkara ini.
Sebagai
pemimpin, mereka seharusnya belajar berbagai bahasa kerana mereka bukan
pemimpin kepada satu kelompok bangsa saja, tapi pemimpin kepada semua bangsa
yang ada dinegara ini.
Dan saya
ingin juga memperingatkan pada pemimpin politik kita supaya mengimbas kembali
negara kita pada zaman darurat pertama, darurat kedua dan konfrontasi.
Pada
ketika itu bahasa tidak penting untuk menyatukan rakyat supaya bersatu
menentang musuh negara. Apa yang penting ketika itu ialah jiwa dan semangat
kita untuk membebaskan negara dari ancaman musuh.
READ MORE: Promoting the national
language: Steps in the right direction
Kita
lihat bagaimana rakyat dari berbilang bangsa dan bahasa bersatu sebagai satu
angkatan melawan musuh pada ketika itu, hingga kita berjaya menumpaskan musuh
kita itu.
Saya
sebagai seorang veteran tentera dapat melihat semua ini, bahawa setiap bangsa
sanggup berkorban demi menyelamatkan negara; dan kami tidak kesah apa saja
bahasa yang mereka gunakan. Inilah satu contoh taat setia yang terbaik yang
dapat saya berikan, iaitu bukan bahasa yang memenangi perjuangan kita, tapi
jiwa dan semangat cintakan negara oleh setiap rakyat negara pada ketika itu
telah berjaya menewaskan musuh negara.
Saya
yakin, jika negara kita diancami musuh sekali lagi, rakyat Malaysia dari
berbagai bangsa akan bersatu semula bagi membuktikan taat setia mereka – bukan
kerana bahasa semata mata, tetapi jiwa dan semangat mereka yang mahu berkorban
untuk negara.
Dan
sekarang, saya nak tanya pada timbalan menteri di mana dia berada ketika
rakyat berbilang bangsa bersatu menentang ancaman militan pada zaman darurat
seperti yang telah saya sebutkan tadi? Dan saya hendak tahu juga, apakah
fahaman beliau dengan perkataan taat setia itu?
Cukuplah
itu, jangan mempolitikkan bahasa, tradisi, budaya dan sejarah negara kita.
Jangan lupa, perlembagaan persekutuan Malaysia pun dalam bahasa Inggeris.
Mungkin
wartawan yang menanyakan soalan dalam bahasa Inggeris itu dari media bahasa
Inggeris, dan sesuailah soalan yang diajukan dalam bahasa Inggeris kerana
wartawan itu akan melaporkan secara verbatim jawapan dari timbalan menteri itu.
Jadi bagi saya tidak salah dia mengajukan soalan dalam bahasa Inggeris. Apa
perlunya dia angkuh pada seorang pemberita yang hanya mahukan sesuatu komen
darinya itu?
Brigadier Jeneral bersara Dato Mohamed Arshad Raji ialah
presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot)