Kepulangan mantan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ke arena
politik dan bertanding jawatan Timbalan Presiden dialu alukan oleh keluarga besar
KEADILAN.
Namun menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yew
Kew, perjalanan politik Rafizi kali ini agak sukar berikutan pengaruh parti
yang kelihatan merosot berbanding ketika beliau mula 'bercuti' dahulu.
"Rakyat berharap dapat melihat pemimpin baru yang dapat
memulihkan keadaan negara, ahli-ahli parti berharap melihat pemimpin-pemimpin
baru yang dapat membawa parti keluar dari pelosok kemerosotan sekarang.
"Kepada Rafizi Ramli, saya memberi ucap selamat seikhlas hati
atas kembali aktif dalam politik.
"Walau bagaimanapun, saya memberi amaran bahawa jalan yang
dipilih ini, jalan yang sukar dan dia mesti kuat untuk menyelesaikan perjalanan
ini," kata Dr Tan.
Dr Tan beri sokongan kepada Rafizi dalam kes
Bafia
Menurut beliau lagi, keputusan Rafizi untuk sekali lagi berjuang
mengangkat martabat parti dan martabat rakyat marhaen memang dinanti nantikan
Apatah lagi, katanya, Naib Presiden KEADILAN itu memilih untuk
bercuti ketika parti dan kerajaan berada di puncak populariti dan kembali
berjuang pada waktu yang sukar.
"Selepas tiga tahun menyepi daripada arena politik, Rafizi
mengumumkan kepulangannya. Hakikatnya beliau tidak pernah meninggalkan politik
mahupun parti.
"Pada satu ketika sokongan terhadap Tun Mahathir dalam PH
amat luar biasa, beliau memilih untuk tidak berkonfrontasi dan tidak mengambil
bahagian sebagai cara menangani situasi tersebut.
"Dia membenarkan masa untuk membuktikan caturan politiknya
tepat," katanya.
Justeru, menurut Dr Tan tanggungjawab Rafizi pada kali ini jauh
lebih besar daripada ketika mana beliau mula menceburi perjuangan KEADILAN
suatu masa dahulu.
"Untuk persediaan tanggungjawab yang lebih besar, anda perlu
mempamerkan kesabaran yang utuh dan lebih bersedia dalam menerima perbezaan.
"Bak kata pepatah Cina, "Laut menjadi hebat apabila
beribu-ribu sungai mengalir ke dalamnya"," katanya.
Tegas Dr Tan lagi, perjuangan rakyat pada waktu ini memerlukan
gabungan tenaga dari semua sektor untuk berjaya dan dikagumi.