Analisis dan pendapat umum yang menganggap KEADILAN mula merosot
selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan berkemungkinan bukan lagi merupakan
pencabar utama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 adalah kurang tepat.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
berkata, parti itu sebelum ini pernah menempuh situasi yang lebih getir pada
PRU 2004 apabila hanya presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah yang menang kerusi
Permatang Pauh di Pulau Pinang.
"Setiap kali berlaku kekalahan pilihan raya, bukan sahaja
Johor, sasaran nombor satu adalah KEADILAN dan Anwar Ibrahim
"Itu sasaran pertama. Paling senang jadi punching bag.
"Jika kita ingat sejarah KEADILAN lahir 1999, masuk pilihan
raya pertama (menang beberapa kerusi). Kemudian masuk PRU 2004 tinggal satu
kerusi, Permatang Pauh. Itu pun majoriti 500 undi.
"Pada ketika itu peramal politik, kawan dan lawan, istilah
mereka ialah pengakhiran parti KEADILAN. Tak ada apa dah, tutup buku,"
katanya dalam forum maya channel Mustapa Mansor, malam tadi.
Namun kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, 4 tahun kemudian
KEADILAN mengejutkan negara apabila mencipta kemenangan membanggakan pada PRU
2008.
Bersama Pakatan Rakyat ketika itu, ujar Saifuddin, pembangkang
menawan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan.
"Dari 2004 hingga 2008 KEADILAN muncul menjadim parti
pembangkang terkuat dengan menang 33 kerusi. Lepas itu menang lagi 32 kerusi
pada 2013. 2018 KEADILAN menang 45 kerusi
"KEADILAN di lantai paling bawah pada 2004 tetapi terus
berkembang sehingga anggotanya 1.2 juta
"Ukuran sebenar KEADILAN dapat sambutan atau tidak ialah
pilihan raya. Jadi PRN KEADILAN tidak menangi sebarang kerusi. Bukan sedikit
meramalkan KEADILAN sudah malap, lesu, tidak bermaya dan sasarannya adalah Anwar
sudah hilang pengaruh.
"Namun hakikatnya jangka hayat parti politik bukan satu dua
PRN tetapi kena tengok dalam jangka panjang," katanya.
Tegas Saifuddin, KEADILAN tidak akan menjadi sebagaimana parti
parti yang gah pada mulanya tetapi kemudian berkubur.
Asas perjuangan KEADILAN yang mahu membawa perubahan, ungkap
beliau, akan menjadikan parti tersebut terus relevan.
"Ada parti politik yang hidup dan mati dengan kubur tak
bertanda. Semangat 46 pernah wujud dalam PRU 1990 (menang banyak kerusi di
Kelantan), PRU 1995 (menang beberapa kerusi) lepas itu habis.
"KEADILAN kita terus ada kerana ini parti reformasi.
Dokongannya dokongan rakyat," katanya.
Selain itu, calon Timbalan Presiden KEADILAN itu juga menambah
parti itu tetap bergerak dengan dinamis awalnya, mengiktiraf semua ahli dan
penyokongnya sebagai penyumbang kemenangan.
"Parti ini terbuka menerima siapa sahaja, dan kekuatan parti
ini ialah kesediaan kita mengiktiraf sumbangan semua orang," katanya lagi.