PAU 2021 | Perwakilan Umno Kelantan
menganggap parti itu tidak boleh bekerjasama dengan PAS selagi ada "tiga
jahanam" yang memimpin parti itu.
Menurut Zawawi Othman tiga pemimpin terbabit
digelarkan begitu kerana dianggap “bermulut jahat.”
Mereka ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang,
Naib Presiden Mohd Amar Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad
Sanusi Md Nor.
Menyampaikan perbahasannya di Dewan Merdeka
Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Zawawi berkata selama ini pemimpin tertinggi
Umno tidak pernah melabel pemimpin PAS dengan gelaran yang buruk.
Itu berlaku, katanya, ketika PAS
sendiri mengelar, menghina serta mempersenda Umno dengan pelbagai nama seperti
itik patah kaki.
"Tetapi pemimpin PAS
terutama tiga jahanam [...] Presiden PAS, Haji Hadi; Nik Amar, dan juga Sanusi
[...] ini mulut-mulut jahat.
"Jadi, Umno kelantan tidak
menolak PAS tapi menolak pemimpin-pemimpin PAS yang ada pada hari ini iaitu
orang yang saya sebut ini.
"Kalau PAS menolak
pemimpn-pemimpin mereka ini, kita boleh terima untuk bersama dengan PAS. Kalau
tidak ada Haji Hadi, insya-Allah kita boleh berbincang (untuk bekerjasama)
balik, tapi kalau ada dia, biarlah kita dengan kita, dia dengan dia,"
katanya.
Dalam ucapannya itu juga Zawawi
meminta Umno tidak menerima dengan mudah mana-mana wakil bekas wakil rakyat
mereka yang ingin menyertai parti itu semula dari Bersatu.
Jika mereka mahu kembali,
katanya, letakkan garis akhir (deadline) untuk
wakil rakyat terbabit membuat keputusan.
Pada penghujung ucapannya juga
Zawawi sempat memuji bekas perdana menteri Najib Razak, yang dirujuknya dengan
gelaran popular 'Bossku'.
Katanya ketika ini sebahagian
daripada roh Umno ada pada Najib.
"Insya-Allah kita akan
selamat jika permata-permata kita lima top five yang di atas bersama Bossku,
bincanglah, fikirkanlah, satukanlah untuk kebahagiaan kami dan kami akan
berjuang hingga ke titisan darah terakhir," katanya.