PENGARAH EKSEKUTIF SAPURA DIBAYAR RM983 JUTA, MANA SUARA NAJIB?

 

Sejak hilang kuasa dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana bersalah menyeleweng dana pencen rakyat, Dato’ Seri Najib Tun Razak ghairah cuba bersuara dalam semua perkara kononnya untuk menjadi hero rakyat.

Terbaru, dia mengusulkan supaya Kerajaan Persekutuan campur tangan dengan mengarahkan institusi milik rakyat seperti PETRONAS, Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad (“PNB”) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad (“Sapura”) yang berdepan masalah kewangan.

Apabila saya bersuara bahawa sebarang usaha untuk menyelesaikan kemelut kewangan Sapura tidak boleh melibatkan wang rakyat, seperti biasa Najib menimbulkan isu kerugian wang rakyat (melalui pegangan PNB di dalam Sapura), kehilangan kerja, kerugian vendor dan pinjaman bank kepada Sapura.

Pada dasarnya, sebarang permasalahan kewangan mana-mana syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir (“corporate governance”) yang lemah. Sekiranya syarikat-syarikat swasta ada talian hayat (dengan diselamatkan oleh wang rakyat) setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada insentif dan pertanggungjawaban (“accountability”) untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing.

Tambah pula, dalam hal ini, beberapa rekod kewangan Sapura sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi terutamanya berhubung bayaran kepada pengarah-pengarah eksekutifnya (yang juga mewakili beberapa pemegang saham terbesar Sapura).

Rekod kewangan Sapura yang diaudit bagi tahun-tahun kewangan 2009 hingga 2021 menunjukkan pecahan bayaran-bayaran berikut (dibundarkan kepada juta yang terdekat, jika berkenaan):

Gaji, bonus dan upah kepada pengarah eksekutif Sewa kepada syarikat berkaitan pengarah eksekutif Yuran harta intelek kepada syarikat berkaitan pengarah eksekutif

Jumlah

tahunan

2009 1,1817,000 – – 1,1817,000

2010 2,480,000 – – 2,480,000

2011 3,750,000 – – 3,750,000


2012 5,284,000 – – 5,284,000

2013 45,023,000 12,000,000 63,000,000 120,023,000

2014 114,399,000 22,000,000 70,000,000 206,399,000

2015 89,751,000 20,000,000 70,000,000 179,751,000

2016 91,503,000 22,000,000 70,000,000 183,503,000

2017 88,684,000 18,000,000 70,000,000 176,684,000

2018 37,347,000 10,000,000 56,000,000 103,347,000

2019 13,028,000 11,000,000 20,000,000 44,028,000

2020 9,597,000 16,000,000 10,000,000 35,597,000

2021 6,054,000 18,000,000 10,000,000 34,054,000

RM508,717,000 RM149,000,000 RM439,000,000 RM1,096,717,000

(jadual gaji, bonus, sewa dan yuran harta intelek boleh dilihat secara terperinci di https://rafiziramli.com/2022/03/mana-suara-najib-ketika-rm983-juta-dibayar-kepada-pengarah-eksekutif-sapura-sepanjang-najib-jadi-perdana-menteri/)

Selain gaji, bonus dan upah kepada pengarah eksekutif yang mencecah ratusan ribu ringgit setiap hari (2013: RM123,351 sehari, 2014: RM313,422 sehari, 2015: 245,893 sehari, 2016: 250,693 sehari, 2017: RM242,970 sehari, 2018: RM102,321 sehari, 2019: RM35,693 sehari, 2020: RM26,293 sehari dan 2021: RM16,586 sehari), pengarah eksekutif juga dibayar dalam bentuk lain, iaitu:

1. Sewa tahunan yang dibayar oleh Sapura kepada syarikat yang berkaitan (dimiliki oleh) pengarah eksekutif (dan pemegang saham yang mereka wakili). Sejumlah RM149 juta dibayar sebagai sewa dalam tempoh 2013 hingga 2021.

2. Yuran harta intelek (IP) sebanyak RM439 juta dalam tempoh 2013 hingga 2021. Saya difahamkan bayaran ini adalah yuran bagi membolehkan Sapura Energy Berhad menggunakan nama “Sapura” yang dilesenkan oleh pemegang saham (yang diwakili pengarah eksekutif).

Dalam tempoh yang sama (2009 hingga 2021), Sapura membayar dividen kepada pemegang-pemegang saham sebanyak RM683 juta.

Analisis kewangan ini (bagi tempoh 2009 hingga 2021) menunjukkan perkara-perkara berikut:

i. Sapura membayar pengarah eksekutif tertentu (yang mewakili pemegang saham majoriti) sebanyak RM1.1 bilion sedangkan keuntungan yang dipulangkan kepada pemegang saham sebagai dividen hanyalah RM683 juta.

ii. Dari jumlah RM683 juta itu, sekitar 35% dividen dibayar kepada pemegang saham majoriti yang diwakili oleh pengarah eksekutif yang mengetuai Sapura.

iii. Oleh itu, anggaran bayaran keuntungan kepada pemegang saham majoriti (yang diwakili pengarah eksekutif) dalam bentuk gaji, sewa, yuran harta intelek dan dividen adalah sekitar RM1.33 bilion berbanding hanya RM440 juta yang diagihkan kepada pemegang saham lain seperti PNB dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

iv. Nisbah keuntungan yang dikaut oleh pemegang saham terbesar yang diwakili pengarah eksekutif adalah sekitar tiga (3) kali ganda berbanding yang diagihkan kepada pemegang saham lain yang dimiliki rakyat.

Semua ini berlaku semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib memikul amanah memberi hala tuju dan memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan KWAP mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka.

Malangnya, 90% (atau RM983 juta) dari bayaran RM1,096,717,000 (dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek) kepada pengarah eksekutif yang secara jelas tidak adil kepada PNB dan KWAP berlaku dalam tempoh Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan iaitu 2009 hingga 2018.

Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?

Saya ingin mengambil peluang ini untuk menunjukkan bagaimana Najib hanya mengambil kesempatan menembak dalam semua isu kononnya untuk menjadi ter-paling wira rakyat demi menyelamatkan dirinya yang sudah dijatuhkan hukuman penjara. Hipokrasi Najib ini tidak sewajarnya dibiarkan berterusan dan rakyat harus dibentangkan dengan fakta-fakta untuk menunjukkan hipokrasinya.

Pada masa yang sama, mulai esok saya juga akan membentangkan beberapa kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan Sapura keluar dari kemelut kewangan sekarang dan mengelakkan ribuan kakitangannya kehilangan kerja.

RAFIZI RAMLI

31 Mac 2022.