RAKYAT SINGAPURA TANGGUH PERJALANAN KERANA KELIRU MYSEJAHTERA

 





Ramai rakyat Singapura menangguhkan perjalanan ke Malaysia
 sehingga garis panduan lebih jelas mengenai keperluan perjalanan
 disediakan. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Walaupun pada mulanya pembukaan semula Tambak Johor esok menimbulkan rasa teruja, namun segelintir rakyat Singapura menangguhkan perjalanan mereka ke Malaysia kerana wujud kekeliruan mengenai permohonan pendaftaran aplikasi MySejahtera dan keperluan insurans perjalanan.

Seorang pekerja bebas, Lim Hui Hui, 23, merancang perjalanan ke Johor Bahru pada hari sempadan dibuka untuk bertemu rakan, membeli belah dan mengisi petrol di Malaysia memandangkan ia lebih murah.

Namun dia memberitahu portal Singapura, Today, bahawa dia menghadapi masalah untuk mendaftar di MySejahtera dan tertanya-tanya sama ada dia perlu membeli insurans perjalanan untuk masuk ke Malaysia.

Lim berkata, terdapat garis panduan yang kurang jelas untuk mendaftar di aplikasi MySejahtera selain perlu menyediakan alamat di Malaysia, iaitu sesuatu yang tidak dimilikinya.

Katanya, dia hanya mengisi perkataan “Johor” serta alamatnya di Singapura namun bimbang ini akan menjejaskan perjalanan masuk ke Johor Bahru.

“Ini adalah proses yang sangat memenatkan,” katanya selain menambah bahawa dia menangguhkan perjalanan sehingga isu itu selesai.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pengembara yang ingin memasuki Malaysia pada 1 April ini perlu memiliki polisi perlindungan insurans pada kadar minimum USD20,000.

Manakala Suria Hafees, 44, berkata, dia dan suami turut bingung dengan keperluan memberi alamat dan akhirnya hanya memberi alamat di Singapura di bawah ruangan negara Malaysia memandangkan tiada pilihan bagi “Singapura”.

Suria yang berasal dari Port Dickson berkata, dia tidak pulang sejak pandemik Covid-19 melanda dan ingin melawat ibu bapa yang telah berusia bersama dua anaknya pada hujung minggu, namun ia terhalang.

Mereka kemudiannya mahu menukar alamat yang diisi itu kepada alamat rumah ibu bapanya namun ia perlu dilakukan menerusi meja bantuan aplikasi yang “tutup pada hujung minggu”.

“Saya bimbang jika alamat itu salah, ia boleh menjejaskan kelulusan status vaksinasi (suami saya). Saya sangat berharap dapat berjumpa dengan ibu saya lagi, tetapi kita hanya boleh tunggu dan lihat.”

Katanya, ibu mahu dia datang segera melawatnya di Malaysia kerana bimbang sekiranya berlaku perubahan berkait sekatan perjalanan sekali lagi.