Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)
Johor baru baru ini disebabkan perubahan arah sokongan dalam kalangan semua
kaum.
Meskipun PH menerima undi kurang memberansangkan dari kaum Melayu
yang mereka dapat sekitar 27% pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu dan kali
ini kurang 10%, namun pengundi Cina juga didapati telah beralih arah dengan
mengurangkan sokongan terhadap PH.
Bagi Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri
Ibrahim, trend peralihan undi Cina itu turut berlaku dalam kalangan pengundi
muda, sama ada pada usia 18 atau 21 tahun.
"(Berdasarkan kajian) dalam PRU 14 etnik Cina memberi undi
kepada PH sehingga 89% tetapi dalam PRN Johor mereka hanya memberi undi 69%.
Kejatuhan sekitar 19%
"Ini adalah satu peralihan agak besar menuju PRU 15, yang ada
waktu lagi untuk gerakan lain dilakukan. Bagaimanapun ini memberi kesan besar
kepada kerusi di kawasan bandar, contohnya kawasan bercampur majoriti Melayu
tetapi ada pengundi Cina agak besar.
"Ini menyebabkan MCA boleh menempatkan diri sebagai
pemenang," katanya dalam forum maya mengupas peralihan sokongan etnik Cina
dalam PRN Johor terbitan Sumberkini, malam tadi.
Berdasarkan kajian yang dilakukan, menurut Prof Yusri, anak muda
Cina didapati lebih memikirkan masa hadapan mereka berbanding isu lain,
terutama peluang mendapat pekerjaan dan ekonomi pasca pandemik Covid 19 yang
diterjemahkan sebagai undi pada 12 Mac lalu.
"Bila kita tanya, mereka beritahu tentang masa hadapan, yang
mereka sedang fikir, sedang mereka bimbang adalah ekonomi, iklim perniagaan dan
peluang pekerjaan. Tetapi PH masih lagi kempen berkenaan integriti, isu rasuah,
pentadbiran telus, kluster mahkamah dan sebagainya.
"Kempen itu bagi sebahagian anak muda Cina mereka 'tak
masuk'. Undi 18 juga, anak muda sekitar umur 20 tahun ada sedikit behavior
untuk bergerak kepada BN berbanding PH," katanya.
Mengenai pertanyaan moderator mengenai trend kemerosotan undi Cina
kepada PH berdasarkan beberapa siri PRN, Dr Yusri menjelaskan, isu yang
menyebabkan dampak kemerosotan itu berbeza beza.
Katanya, di Melaka terdapat isu beberapa ahli politik BN yang
melompat diterima PH sebagai calon, manakala di Johor mengikut kajian lebih
kepada isu logo bersama yang tidak digunapakai.
Bagaimanapun, kata Yusri, hal itu tidak menunjukkan secara
muktamad pengundi Cina sudah tidak lagi terkesan dengan isu isu tatakelola
pentadbiran, jenayah pemimpin BN dan sebagainya.
Cuma pada PRN, kata Dr Yusri, settingnya berlainan. Katanya,
pengundi tidak lagi mahu dibawakan isu yang mereka telah buat keputusan dalam
PRU lalu. Pada PRN mereka hendak tengok polisi ekonomi, kos sara hidup, harga
barang dan beberapa isu tempatan lainnya.
Namun, Dr Yusri mengingatkan BN agar tidak terlalu yakin diri
setelah memperolehi kemenangan besar kerana dalam PRU 15 sokongan Cina mungkin
berubah kembali.
"Orang mengundi PRN, PRK lebih kepada isu setempat. Yang
mengundi kerana agenda reformasi dan sebagainya kadang kadang menjauhkan diri.
Mereka tak balik, tak keluar mengundi, etnik Cina beralih sedikit kepada BN
"Tetapi ini bukan bersifat kekal. Dalam kajian kami etnik
Cina mereka betul betul mengundi secara strategik, iaitu apa yang mereka mahu
capai.
"Apa sahaja yang berlaku menjelang PRU 15 boleh merobah sikap
pengundi Cina asalkan PH boleh menawarkan kepada kelompok ini (sesuatu yang
bagus). Saya tidak terkejut sekiranya mereka kembali kepada PH.
"Sebab PRU akan menentukan jatuh bangun negara, soal ekonomi,
pelaburan dan sebagainya. (Dalam PRU) sama ada PH atau BN, siapa yang memberi
tawaran terbaik, tidak lagi meratib perkara yang telah diketahui umum, saya
tidak terkejut kalau etnik Cina kembali undi PH.
"Tetapi saya juga tidak terkejut jika BN tawar yang terbaik,
mereka akan undi BN," katanya lagi.