Otai Reformis 1998 umum calon tanding MPP

 


Persaingan secara demokrasi bagi mendapatkan tempat dalam hierarki kepimpinan KEADILAN akan lebih mencabar apabila Otai Reformis 1998 mengumumkan menghantar 3 wakil untuk bertanding posisi Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Menurut pengumuman Setiausaha Otai Reformis, Razak Ismail (gambar, dua dari kanan) malam tadi, pertubuhan yang sebelum ini menggerakkan demonstrasi jalan raya sejak kebangkitan Reformasi 1998 itu buat julung kalinya akan cuba menempatkan wakil dalam kalangan pembuat keputusan parti.

"Otai Reformis telah mengadakan mesyuarat pada malam ini yang telah dihadiri seramai 32 orang wakil terdiri daripada Pengerusi Otai Johor dan juga Otai Perak dan Sabah

"Pada malam ini kita membuat keputusan bahawa Otai telah bersetuju memilih 3 orang wakil pimpinan untuk bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat, iaitu saudara Mustapa Mansur (Timbalan Presiden Otai), Razak Ismail juga seorang wakil dari Sabah," kata Razak selepas mesyuarat Otai Reformis di Kuala Lumpur.

Dalam pengumuman itu juga beliau menjelaskan Otai Reformis tidak memutuskan untuk berpihak kepada mana mana calon Timbalan atau Naib Presiden.

Tambah Razak, ahli ahli Otai Reformis bebas untuk memilih calon calon yang mereka yakini memimpin KEADILAN.

"Dalam masa sama kita ambil keputusan bahawa ahli ahli Otai terbuka untuk menyokong mana mana calon calon bagi jawatan Timbalan Presiden dan juga Naib Presiden.

"Saya sebagai Setiausaha Otai dengan ini mengisytiharkan calon calon kita bertanding untuk jawatan MPP," katanya.

Menurut Razak lagi, sudah tiba masanya Otai Reformis meletakkan wakil di dalam parti agar arus reformasi selama dua dekad akan terus subur sebagai dasar utama KEADILAN.