ONE OFF KWSP: SEDIH KERAJAAN TIADA CARA LAIN BANTU RAKYAT
One off KWSP: Sedih kerajaan tiada cara lain bantu rakyat
Pengeluaran one off Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dianggap boleh membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan untuk memulakan hidup baharu.
Namun bagi aktivis KEADILAN, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, wang tersebut seharusnya digunakan oleh rakyat dengan cermat dan berhati hati memandangkan simpanan hari tua perlu diambil kira dalam keadaan ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu.
“Saya sambut dengan sedikit berhati-hati berita kebenaran pengeluaran RM10,000 wang KWSP yang diumumkan oleh Perdana Menteri minggu ini.
“Untuk mereka yang memerlukan dan masih ada wang berbaki, saya doakan agar wang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya setakat yang perlu.
“Mudah-mudahan apabila ekonomi kembali pulih, kita dapat bina kembali wang simpanan hari tua ini,” katanya.
Selain itu, mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak itu juga menasihatkan para pencarum yang tidak begitu memerlukan wang berkenaan agar tidak mengeluarkannya, dan wang tersebut boleh disimpan untuk keperluan selepas bersara.
Bagaimanapun, beliau kecewa kerana Perdana Menteri memilih untuk tidak menggunakan kewangan negara bagi membantu rakyat yang terjejas teruk selepas pandemik Covid 19.
“Saya merasa dukacita apabila kerajaan enggan menggunakan kuasa meminjam negara untuk memberikan bantuan wang tambahan secara langsung kepada rakyat.
“Saya mendoakan agar kita semua dalam perlindungan Allah SWT,” katanya lagi.
Semalam, PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pencarum KWSP boleh mengeluarkan wang simpanan hari tua mereka secara one off sebanyak RM10,000.