Setiausaha Agung DAP, Lim Guan sepatutnya mengelak daripada mengulas mengenai hal PKR yang hanya akan mengundang spekulasi dan kontroversi, kata pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ahli parlimen Setiawangsa itu mengulas wawancara Guan Eng dengan Malaysiakini di mana pemimpin DAP itu mencadangkan agar Rafizi Ramli mencabar Anwar Ibrahim bagi jawatan tertinggi PKR.
“Saya faham selalunya media akan ‘menjolok’ kita dengan soalan-soalan yang nakal berkaitan parti lawan atau kawan.
“Sebagai orang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik, saudara Guan Eng sepatutnya faham Keadilan (PKR) mempunyai prosesnya tersendiri – termasuklah kaedah pemilihan kepimpinan parti.
“Sepatutnya beliau mengelak mengulas sesuatu yang hanya akan mengundang spekulasi dan kontroversi berkenaan Keadilan,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan yang disiar di Facebooknya.
Terdahulu, dalam wawancara eksklusif itu, Guan Eng mencadangkan agar Rafizi terus mencabar Anwar bagi jawatan tertinggi PKR berbanding jawatan sebagai timbalan presiden.
Guan mengulas dakwaan Rafizi bahawa PH sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU akan datang, yang menurutnya ditujukan kepada Anwar.
“Jadi, sasaran dia (Rafizi) ialah Anwar. Saya fikir kerana ini adalah untuk kempennya bagi jawatan timbalan presiden, saya tidak mahu masuk campur.
“Mungkin, berbanding jawatan timbalan presiden, dia patut terus bertanding untuk jawatan presiden,” kata Lim.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, dia sendiri dan rakan-rakan dalam PKR tidak akan memberikan komen berlebihan berkenaan hal dalaman DAP.
“Lebih-lebih lagi memberitahu pemimpin-pemimpin muda DAP apa yang mereka harus lakukan dalam hal pemilihan parti.
“Semoga saudara Guan Eng akan mengambil pelajaran dalam hal ini,” katanya.
Semalam Rafizi berkata dia tidak mahu bertanding jawatan presiden PKR yang disandang Anwar bagi mengelakkan perkara itu mengganggu perhatian kepada mesej-mesej parti itu.
Naib presiden PKR berkata, tindakan sedemikian akan mengalihkan fokus kepada pertandingan berkenaan dan bukan masalah rakyat, seperti isu kesihatan awam.