NAJIB PENGHALANG BN MENANG DUA PERTIGA?


 Pelbagai pihak dalam UMNO dan BN memang diketahui amat mengharapkan kemenangan dua pertiga dalam PRN Johor, 12 Mac ini.

Semalam, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob juga turut berharap sedemikian.

“Sudah tentu, sebagai mewakili BN, peluang ke arah kemenangan bagi saya adalah baik tetapi dalam setiap apa pun pertandingan, sebelum wisel penamat ditiupkan dan diisytiharkan kemenangan, kita masih tidak boleh katakan kita sudah menang.

“Seperti saya katakan kita tidak mahu majoriti mudah di PRN Johor ini, kita nak lebih daripada majoriti mudah, kalau boleh kita mahu dua pertiga kerusi dimenangi BN,” katanya.

Soanya, boleh dan mampukah BN meraih kemenangan dua pertiga itu?

Berdasarkan pemerhatian awal dan di minggu pertama kempen setakat ini, termasuk meninjau suasana pilihan raya di sekitar Muar serta Batu Pahat pada Sabtu dan Ahad lepas, disertai dengan pelbagai faktor dan kelebihan yang dimiliki UMNO, kemenangan memang tidak mustahil boleh dicapai oleh BN.

Jentera yang besar, wang yang banyak, kedudukan sebagai kerajaan, parti pembangkang berlaga sesama sendiri dan pelbagai lagi adalah antara kelebihan yang dimiliki oleh UMNO dalam PRN Johor ini.

Tetapi, pesaing utama BN iaitu PH dan PN tetap dilihat bakal memberi saingan yang tidak mudah ke arah menghalang cita-cita tersebut.

Sementara gerak kempen PH kelihatan agar sederhana dan hanya bergerak dalam skala yang tidak besar, manakala PN nampaknya bermati-matian dan berhabis-habisan mahu mengalahkan BN, semua ini tidak harus dipandang mudah oleh UMNO.

Terutama dari segi poster, kalau dilihat di sekitar Muar iaitu tempat kelahiran Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin misalnya, PN lebih menonjol dan boleh dikata telah mengatasi BN.

Paling menonjol dalam PRN Johor kali ini ialah serangan yang hebat dan ketara kepada UMNO, terutama kluster mahkamah, berkaitan rasuah serta pembabitan berlebih-lebihan Najib Razak dalam kempen BN.

Najib yang sudah dijatuhi hukuman bersalah dan menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, bukan saja diserang dan dijadikan subjek utama kempen oleh PH dan PN, khususnya oleh Mahiaddin, malah juga oleh parti-parti lain yang turut bertanding seperti Muda serta Pejuang.

Dengan itu, hanya kerana penglibatan Najib, ia telah dijadikan “lauk paling sedap” untuk menyerang serta melemahkan UMNO dan BN dalam kempen-kempen oleh blok pembangkang.

Hadi Awang, Presiden Pas yang sebelum ini pernah membawa partinya bersama UMNO dalam Muafakat Nasional, turut tidak ketinggalan menyerang UMNO dan BN dengan melabelnya sebagai parti rasuah serta parti tua yang tidak harus diberi peluang lagi memegang kuasa.

Bayangkan, jika tiada penglibatan Najib dalam kempen, sudah pasti UMNO dan BN lebih selamat daripada serangan sedemikian rupa dan tidak terbeban dengan segala macam hal seperti yang dihadapinya sekarang ini.

Di sebalik Najib terlihat popular ke mana saja beliau pergi, beban yang terpaksa ditanggung oleh UMNO bersama kemunculannya itu jelas tidak sepadan.

Lebih-lebih lagi dengan kedudukan Najib yang sudah dijatuhi hukuman bersalah, namun seolah-olah tiada rasa malu untuk menadah mukanya kepada rakyat untuk merayu undi, kedudukan UMNO pada dasarnya sudah pun tercemar dengan sendirinya di mata umum.

Ia menampakkan seperti UMNO sendiri memberi restu kepada pemimpinnya yang terkait rasuah dan sudah didapati bersalah untuk bebas berkempen, walhal golongan seperti itu lebih wajar direhatkan sebagaimana amalan sebelum ini.

Mujur juga Najib sejak tumbang sebagai Perdana Menteri, beliau tidak lagi membawa Rosmah Mansor ke mana-mana bersamanya, kalau tidak, satu lagi beban akan menimpa UMNO.

Sudah tentu semua ini berbeza jika Ismail Sabri selaku Perdana Menteri atau Hasni Mohamad, Menteri Besar Johor yang tidak terkait dengan apa-apa kes mahkamah datang berjumpa rakyat dan merayu undi, kedudukan keduanya yang masih bersih itu adalah cerminan yang jauh lebih baik buat UMNO.

Ismail Sabri dan Hasni, walaupun berwatak sederhana, kelebihan mereka ialah tidak membawa kes mahkamah sebagai bebanan untuk sama-sama ditanggung oleh UMNO.

Makna kata, keberadaan Najib lebih menjadikan ia beban kepada UMNO serta memperlihatkan wajah parti itu yang kekal tidak berubah.

Ditambah dengan faktor pengundi muda, peranan media sosial dan keinginan kepada perubahan, serangan berterusan kepada Najib atas kedudukannya sebagai pesalah mahkamah yang pasti sedikit-sebanyak ada kesan kepada pengundi, di sebalik kemenangan tidak mustahil mampu dicapai oleh BN berdasarkan banyak kelebihan yang mereka miliki, kemenangan yang dicapai mungkin tidak seperti yang diharapkan.

Terutama jika peratusan keluar mengundi adalah tinggi, impian menang dua pertiga barangkali tidak akan tercapai akhirnya. – ShahbudinHusin 07/03/2022.