MASUK CUCI KAKI..KEMUDIAN SEMBANG PISHANGGGG


 By / March 3, 2022

Sebagai Timbalan Menteri Agama, Yb Marzuk telah mengelirukan dewan parlimen kelmarin (1March 2022) dalam jawapannya tentang TH Plantation. Saya heran bagaimana pegawai TH yang bertanggungjawab membekalkan jawapan yang tidak profesional ataupun Timbalan Menteri itu dari Pengkalan Chepa yang menjawab ikut selera politik beliau.

Pertama beliau mendakwa zaman PH ladang-ladang tidak di baja dengan baik sedangkan masalah ini ditanggung sejak 2016 lagi kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh TH Plantation. Soal hutang, kos pelaburan yang tinggi, kos operasi menyebabkan kedudukan kewangan THP menyempit. Pada tahun 2015, THP dalam menangani masalah hutang membuat keputusan menjual TH Bakti bernilai RM16.3 juta dan TH Gemas bernilai RM154 juta kepada sebuah syarikat swasta Dupont. Dalam kenyataan semasa penjualan tersebut CEO nya waktu itu memberikan alasan mengurangkan beban hutang THP.

Masalah hutang sangat menekan kewangan THP menyebabkan sukuk TH yang membiayai hutang THP gagal dilunaskan pada waktunya menyebabkan kesan kepada pendeposit. Faktanya yang gagal dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Agama ialah pada tahun kewangan 2018, THP menanggung hutang RM 1.24b dan pada suku ke 3 hutang meningkat kepada RM1.29b. Pegangan tunai menyusut dari RM50.6juta kepada RM43.8juta. Keadaan ini memerlukan THP membuat rasionalisasi aset untuk memastikan kestabilan kewangannya dan melunaskan hutang sukuknya kepada badan induk TH.

Soalnya bukan jual aset seperti diapi-apikan tetapi ianya soal menstrukturkan semula hutang THP dan kegagalan bayar balik hutang kepada induk TH. Kegagalan ini menyebabkan rosot nilai yang akan menjejaskan keseimbangan antara aset dan liabiliti dan akan terkesan kepada pengeluaran dividen kepada pencarum. Itulah yang kami cuba atasi untuk menjaga kepentingan aset lain yang membawa pulangan.

Soalan saya ialah apakah kedudukan hutang THP hari ini lebih baik? Apakah THP mampu membayar hutang sukuk kepada TH induk mengikut jadual kematangannya? Apakah kos operasi perladangan kini lebih baik dan apakah semua ladang TH yang dibeli sebelum PH ambil alih semuanya tanah yang baik? Soal harga sawit yang tinggi bukan menjamin keuntungan tetapi kos operasi, tanah yang baik dan tekanan hutang perlu dibuat perkiraan. Yb Marzuk harus jujur menjawab masalah THP tanpa perlu berdalih secara politik untuk menaikkan sentimen dan mengelirukan dewan.

Jualan aset untuk penstrukturan hutang bukan menggadaikan aset orang Islam tetapi keperluan menjaga aset- aset lain yang menguntungkan supaya tidak terjejas pulangan menyeluruh kepada harta umat Islam. Jika trend kenyataan seperti yang dibuat oleh Timbalan Menteri yang bertanggungjawab kepada TH dibiarkan, pengoperasian THP yang tertakluk kepada perundangan Suruhanjaya Sekuriti dan tersenarai di Bursa Saham akan terjejas kerana campurtangan politik. THP tertakluk kepada semua obligasi fidicuary yang bebas politik.


                                                     TH PLANTATION

Selagi Yb Marzuk tidak menjelaskan kedudukan kewangan THP dan tahap keberhutangannya serta mendedahkan berapa peratus tanah THP yang tidak boleh ditanam sawit dan berapakah kos operasi THP saya menganggap dakwaan hasil lebih baik dari zaman PH hanyalah dakwaan setengah masak. Hakikatnya Yb Marzuk menutup sebelah mata kepada masalah lebih besar iaitu penstrukturan semula hutang dan kos operasi yang tinggi dan itulah yang cuba dilakukan oleh saya semasa PH menjadi kerajaan.

THP tidak dapat memenuhi jadual pembayaran sukuknya kerana tidak mampu dan dalam keadaan berterusan begini, rosot nilai aset TH induk akan menyumbang kepada keadaan kewangan TH dan sekaligus tidak dapat memberi dividen yang seimbang kepada pendeposit umat Islam. Saya cabar pihak pengurusan THP untuk menjelaskan bagaimana dilunaskan hutang-hutang ini tanpa penjualan aset serta bagaimana rosot nilai dikira sehingga melayakkan dividen dikeluarkan 3.1%? Apakah duit reserve TH diambil lagi untuk tujuan tersebut?

Berhentilah meratib PH jual aset TH, PH jual ladang TH, PH jual aset orang Islam kerana apa yang dilakukan ialah penstrukturan semula untuk tujuan supaya Tabung Haji terus unggul dan berkembang dan pada waktu yang sama memenuhi pematuhan akta TH dan obligasi fiducary yang bebas politik. Alhamdulillah niat asal kami dibuktikan hari ini dengan kedudukan Tabung Haji yang lebih baik, YB Marzuk masuk cuci kaki sahaja tapi sayang dia keliru dan telah mengelirukan dewan.