Kerajaan kalah usul Sosma tidak jejas MoU
Kekalahan luar biasa yang dihadapi oleh pihak kerajaan dalam sesi pengundian meminta penyambungan pemakaian Seksyen 4(5) Sosma untuk 5 tahun ke hadapan yang gagal diluluskan tidak menyebabkan perjanjian Memorandum Kerjasama (MoU) tergugat.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, akta Sosma berkenaan tidak termasuk dalam MoU yang mana syaratnya jelas, sebelum usul dibentangkan di dalam dewan perlu dirundingi dan dipersetujui oleh pihak Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu.
Manakala dalam isu penyambungan Seksyen 4(5) berkenaan tidak ada rundingan dibuat bersama pihak PH. Oleh itu, katanya, hujah yang menyatakan MoU terbubar adalah tidak tepat.
“Adakah ini melanggar MoU, pada saya tidak. Perkara 3.3b MoU ini menyatakan komitmen dari pihak PH adalah bagi usul yang dibawa kerajaan yang dirundingi dan dipersetujui pada dasarnya, dan PH tidak menolak.
“Adakah usul ini dirundingi? Jawapannya tidak. Kerajaan tidak memaklumkan bahawa mereka akan membawa usul ini dan tidak ada persetujuan pada dasarnya tentang usul ini
“Kalahnya kerajaan petang ini tidak menjejaskan MoU,” katanya dalam siaran media.
Mengenai Akta Anti Lompat Parti yang dikatakan sebelum ini berpotensi untuk PH menarik diri daripada MoU sekiranya Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menunaikannya, Fahmi menjelaskan satu delegasi telah menemui PM dan mereka diberitahu sesi khas sidang Parlimen akan dipanggil pada bulan April untuk meluluskan akta berkenaan.
“Untuk Akta Anti Lompat Parti hari ini wakil PH telah bertemu PM. PH diwakili YB Mohamad Sabu, YB Anthony Loke, YB Saifuddin Nasution dan mereka telah mendapat persetujuan bahawa PM akan panggil satu sidang khas pada bulan Ramadan, iaitu April depan bagi membentang RUU Anti Lompat Parti,” katanya.
Petang tadi, kerajaan pimpinan PM Ismail Sabri mencatat rekod pertama kali dalam sejarah Parlimen apabila kerajaan gagal menuntut diteruskan sambungan Seksyen 4(5) Sosma, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.
Sebelum ini, kegagalan pihak kerajaan hanya dicatat dalam pindaan Perlembagaan yang memerlukan undi majoriti 2/3 dan bukannya pada sesi undi belah bahagi biasa.
Kerajaan kalah dengan 84 undi meyokong manakala pembangkang 86 undi menentang.