Kenapa menteri suruh mangsa keganasan bawa laporan perubatan?
Pihak polis tidak mempunyai sebarang pilihan selain mengambil laporan berkenaan keganasan rumahtangga sekiranya mangsa membuat aduan.
Menurut Senator Dewan Negara, Fadhlina Siddiq, komen Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang mencadangkan mangsa keganasan rumahtangga datang semula ke balai polis bersama laporan perubatan adalah tidak wajar dilakukan dan tidak tepat.
“Semalam menteri wanita berkata sekiranya wanita pergi ke balai polis dan balai tak nak terima aduan tersebut maka perlu bawa pula laporan perubatan. Ini mengarut.
“Tugas polis, apabila ada laporan keganasan rumah tangga tak perlu lihat laporan perubatan, kecualilah wanita ini ke One Stop Crisis Centre yang memang ada hospital di situ.
“Kalau tak ada, ambil dulu laporan dan kemudian siasatlah. (Ini masalahnya) wanita yang dapat jaminan dari kerajaan (undang undang) tetapi terpaksa lalui pelbagai perkara yang kita panggil ‘stesen’ sebelum sampai ke proses perlindungan. Ini tidak adil,” katanya dalam forum Borak Feminin, terbitan Studio Dahsyat, malam tadi.
Menurut Fadhlina lagi, wanita yang menghadapi kes rumahtangga juga menghadapi kitaran kemiskinan dan perlu dibantu oleh pihak kerajaan.
Terutama untuk menguruskan kes penceraian yang melibatkan pelbagai prosedur dan juga kewangan.
“Berlaku kitaran kemiskinan wanita yang menghadapi kes kes rumahtangga.
“Seorang wanita nak failkan kes akan mengalami kemiskinan akses. Tak ada peguam, dia kena pergi ke kerajaan yang memerlukan temu janji yang lama.
“Ini bahagian yang tidak ada mana mana NGO nak selesaikan. Anak anak tak ada rumah, pusat transit penuh. Contohnya seorang wanita dipukul tak ada yang nak ambil kerana perlu jalani PCR (ujian kesan Covid). Berapa kos jalani ujian dengan anak anak? Ini semua kitaran kemiskinan multidimensi.
“Apa yang penting kita kena tumpukan dasar lebih kukuh. Dasar ini bukan nak zahirkan dalam rekod, inilah perlindungan wanita dalam bentuk terminalogi. Saya rasa dah banyak tengok (terminalogi) tetapi rakyat tidak diwakili (sebaik baiknya dengan) terminologi.
“Komuniti perlu ada program pembangunan masyarakat, pendidikan masyarakat. Juga program advokasi keluarga supaya bilangan terkait rapat dengan kemiskinan maklumat, akses maklumat selepas penceraian ini boleh diselesaikan,” katanya.
Selain itu, Fadhlina juga membincangkan mengenai isu penceraian di waktu pandemik Covid 19 dan pasca pandemik meningkat mendadak berbanding waktu sebelumnya.
Hal itu, kata beliau bersangkutan dengan ekonomi keluarga yang memburuk pada waktu ini berikutan pembuangan pekerjaan dan menimbulkan masalah kepada keluarga.
“Saya memang nak ulang dan tegaskan penceraian salah satunya penyebab terbesarnya adalah ekonomi keluarga. Kebanyakan punca disebabkan kegagalan suami beri nafkah.
“Apatah lagi pasca pandemik ini ramai yang hilang pekerjaan dan pendapatan. Dalam konteks rumah tangga ada 4 perkara penting. Pertama makan minum, tempat tinggal, pakaian dan juga perubatan.
“4 perkara ini suami wajib sediakan. Dalam isu penceraian, nafkah ini gagal disediakan. Ini bermakna benda asas pun gagal (suami berikan) maka tidak ada harapan rumahtangga itu diselamatkan
“Ini sangat membimbangkan, apatah lagi keadaan yang kita panggil sebagai kos sara hidup yang cukup tinggi dan beri kesan besar kepada isu nafkah ini,” katanya lagi.
Justeru, Fadhlina mencadangkan komuniti melakukan advokasi kepada keluarga keluarga bermasalah di sekitar mereka, terutama pusat khidmat wakil rakyat yang sering menjadi tempat isteri mengadu masalah sekiranya terdesak, perlu para pegawainya diberi pengetahuan atau latihan bagi menangani kes kes berkaitan rumah tangga.