Semalam, ketika membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong di Parlimen, Najib Razak berkata, tiada satu sen pun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.
Ini kerana, katanya pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah memulangkan dana 1MDB berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.
“Jangan kita beri alasan hutang 1MDB sebagai merosakkan kewangan negara, hakikatnya satu sen pun hutang prinsipal 1MDB tidak pernah dibayar pada 2018.
“Pada 2018, hutang 1MDB adalah RM32 bilion, 2019, 2020, 2021 hutang (kekal) RM32 billion.
“Adalah tidak betul untuk cadangkan bahawa rakyat perlu tanggung atau bayar hutang 1MDB.
“Misalnya RM16 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs, bukan daripada wang rakyat, itu wang Goldman Sachs.
“Kita juga menerima RM3 bilion daripada DOJ, RM2.83 bilion daripada Ambank, RM340 juta daripada KPMG dan RM324 juta daripada Deloitte.
“Kesemuanya ini hampir RM23 billion, ini bukan wang rakyat. Sepatutnya wang ini boleh digunakan bayar hutang 1MDB,” tambah bekas Perdana Menteri itu lagi.
Bagaimanapun, rata-rata komen netizen di media sosial dilihat tidak bersetuju dan menyanggah hujah Najib itu.
Di ruangan komen Malaysiakini misalnya, berita mengenai perkara tersebut mendapat sanggahan lebih 90 peratus daripada netizen yang memberi pelbagai reaksi mengenainya.
Di bawah ini adalah sebahagian daripada komen-komen netizen itu.
Apa pula pendapat kita sebagai rakyat Malaysia yang terus dihidangkan dengan berita-berita buruk dan pendedahan berterusan berkaitan skandal 1MDB itu.
Misalnya, berdasarkan keterangan terbaru Tim Leissner, bekas orang kuat Goldman Sachs di mahkamah AS saja, nampaknya masih banyak lagi rentetan tersembunyi berkaitan skandal 1MDB itu yang membuatkan kita terus marah dan sakit hati.
Apakah kita juga sebagai rakyat hanya mahu berdiam diri dan menerima begitu saja semua yang dikatakan Najib itu? ShahbudinHusin 03/03/2022.