Onn Hafiz sailang Hasni, bakal MB Johor yang baru?
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Onn Hafiz Ghazi dikatakan mendapat perkenan sebagai menteri besar Johor yang baru.
Menurut sumber dalaman Umno, bekas exco kerajaan negeri itu bakal mengangkat sumpah esok.
Umno dikatakan mengemukakan tiga nama iaitu penyandang, Hasni Mohammad, Mohd Puad Zarkashi dan Onn Hafiz sebagai calon menteri besar.
Bagaimanapun nama Onn Hafiz dikatakan telah mendapat perkenan istana.
Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Hasni lewat petang tadi yang mencadangkan pemimpin muda menerajui kerajaan negeri.
“Umno mengemukakan tiga nama termasuk Hasni, namun hanya satu nama yang dipilih.
“Hampir pasti Onn Hafiz bakal menteri besar Johor yang baru,” kata sumber berkenaan kepada Malaysiakini.
Onn Hafiz yang berusia 43 tahun merupakan anak saudara kepada Hishammuddin Hussein dan cicit kepada Onn Jaafar yang mengasaskan Umno.
Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.
Terdahulu dalam satu kenyataan, Hasni yang juga pengerusi BN Johor mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.
Hasni berkata langkah itu juga demi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.
Dalam kenyataan lewat petang ini, dia berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik Covid-19.
“Insya-Allah di bawah kepimpinan baru, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera,” kata Hasni.
Petang tadi, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi turut dilaporkan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Johor Bahru dalam pertemuan hampir sejam.