Pertandingan posisi jawatan Timbalan Presiden KEADILAN sehingga
kini masih kekal hanya satu calon yang menawarkan diri
Sementara Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang disebut sebut akan menjadi pencabar masih belum membuat keputusan.
Hal itu ditegaskan beliau ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Lembah Pantai, petang tadi.
"Saya sekarang masih setiausaha agung, penamaan calon pada 8 April. Ada 10 hari lebih. Hari ini saya tidak membuat sebarang pengumuman.
"Sudah jadi tabiat saya, satu keputusan besar saya perlu enggange dengan semua lapisan kepimpinan. Bila sampai masa dan ketikanya saya akan membuat keputusan, dan pada waktu saya buat keputusan, saya menerima hakikat bahawa perlembagaan parti menghormati proses demokrasi memilih.
"Kalau akhirnya saya buat keputusan itu, saya ingin raikan kebebasan dalam parti dan memberi kebebasan memilih kepada anggota. Tekad saya untuk menyaksikan satu proses pemilihan yang tidak mencarik persahabatan. Itu falsafah politik saya," katanya.
Ahli Parlimen Kulim bandar Baru itu juga menerangkan mengenai penglibatan awal beliau sebagai antara pengasas KEADILAN sejak 1999 dan mahu melihat parti kuat dan stabil menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15.
Ditanya mengenai keputusan salah seorang pemimpin awal parti, Tian Chua yang tidak mempertahankan jawatan, Saifuddin menjelaskan isu yang paling penting adalah mantan Ahli Parlimen Batu itu kekal bersama dan membantu KEADILAN menghadapi pilihan raya.
"Semalam saya adakan pertemuan dengan Tian, beliau membayangkan hasratnya. Sudah tentu beliau ada pertimbangan tersediri. Sebagai rakan yang lama, barisan awal membarisi kepimpinan parti, sudah tentu Tian mempunyai asas tersendiri.
"Tian orang yang ada jawatan memilih untuk tidak bersama dalam musim pemilihan tetapi memberi jaminan tegas akan terus bersama dalam parti. Itu yang paling penting," katanya.
Menjawab pertanyaan berhubung pelancaran gerakan politik massa baharu dari paksi Rafizi Ramli semalam, iaitu aplikasi Ayuh Malaysia, Saifuddin menyifatkan usaha tersebut sesuatu yang kreatif dan diharapkan mampu membawa kembali pengundi Atas Pagar keluar mengundi.
"Saya baca objektifnya untuk mendekati pengundi Atas Pagar. Saya anggap itu suatu yang kreatif dan membantu. Sebagai setiausaha agung parti saya anggap ini sangat terbuka menerima apa juga idea baru," katanya lagi.
Saifuddin turut menegaskan pemilihan parti tidak akan terjejas sekiranya berlaku pilihan raya umum kerana ada beberapa pelan telah disediakan.
Sekiranya PRU diumumkan dalam masa terdekat, kata Saifuddin, maka pemilihan parti ditunda dan parti mempunyai sehingga Mei 2023 untuk melengkapkan pemilihan kepimpinan.