Benarkah PNB sudah ‘bailout’ Sapura Energy?

 


Benarkah PNB sudah ‘bailout’ Sapura Energy? Ini persoalan yang sedang diajukan oleh banyak pihak ketika ini, antaranya Datuk Abdul Kadir Jasin.

Wartawan veteran, Kadir Jasin hari ini mempersoal jumlah pelaburan yang dikeluarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam anak syarikat konglomerat Kumpulan Sapura, Sapura Energy.

Bahkan beliau juga mempersoalkan sama ada benar atau tidak jumlah hutang syarikat perbankan, Maybank terhadap syarikat minyak dan gas tersebut kini mencecah RM10 bilion.

Benarkah PNB sudah 'bailout' Sapura Energy?
A Kadir Jasin

Katanya, PNB perlu memberi penjelasan berhubung isu ini memandangkan Maybank adalah permata dalam portfolio pelaburan syarikat berkenaan.

Bekas Perdana Menteri yang dilihat mahu menyelamatkan Sapura, Kadir turut mempersoalkan adakah Datuk Seri Najib Tun Razak tahu keadaan sebenar yang berlaku.

“Oleh sebab Mohd Najib Abdul Razak sibuk sangat nak selamatkan Sapura Energy Berhad, kita nak tahu adakah dia dan cai-cai dia tahu keadaan sebenar.

“Nampak macam dia ada “personal interest” pula.

“Jadi kita kena tanya Permodalan Nasional Berhad (PNB) dah berapa banyak Kumpulan PNB belanja ke atas Sapura Energy ini?” soalnya menerusi hantaran Facebook.

Menurut Kadir, PNB berisiko besar sekiranya jumlah hutang tersebut menghampiri RM10 bilion.

“Kalau tak betul Alhamdulillah, tapi kalau betul tanggungan berisiko ini lebih besar daripada jumlah dividen RM8.9 bilion yang Amanah Saham Berhad (ASB) bayar kepada 10.4 juta pelabur bagi tahun 2021,” ujarnya.

Jelasnya, apa yang rakyat sudah tahu melalui laporan media adalah PNB telah membelanjakan RM2.68 bilion bagi membeli 40 peratus saham biasa dan saham RCPS (redeemable convertible preference shares) dalam Sapura Energy.

Tambahnya, media turut melaporkan bahawa hutang Sapura Energy berjumlah RM10.3 bilion kini disusun semula menerusi pengambilan daripada pelbagai syarikat perbankan seperti Maybank, CIMB, AmBank, RHB dan banyak lagi.

“Kita pun dah baca, walaupun syarikat-syarikat mereka rugi teruk dan hutang berbilion-bilion ringgit tak mampu dibayar tapi tauke-tauke mereka terus dapat gaji berpuluh juta setahun.

“Tapi bukan tauke-tauke sektor swasta saja yang bayar diri mereka gaji besar, eksekutif GLIC dan GLC pun dah terikut-ikut, ada yang dapat RM9.4 juta setahun,” katanya.

Kerugian bersih Sapura Energy Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 meningkat kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.