ANWAR IBRAHIM : TERIMA KASIH DAN UNDILAH KEADILAN DAN PH



ANWAR IBRAHIM


Alhamdulillah, selesai selama 2 minggu tempoh berkempen untuk Pilihanraya Negeri Johor. Saya ingin zahirkan rasa terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pihak, samada di peringkat KEADILAN mahupun PH, jentera parti dan aktivis, sukarelawan dan juga seluruh rakyat Johor terutamanya.

Saya amat terharu tatkala melihat semangat dan cita-cita rakyat dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat di Johor yang benar-benar mahukan perubahan. Namun, keluhan dan keresahan yang disampaikan kepada saya tidak sedikit.

Justeru, perubahan yang kita anjurkan tidak hanya sekadar slogan, tetapi ia adalah cetusan nurani KEADILAN yang mahukan sebuah sistem tadbirurus yang baik dan pemerintah yang peka akan nasib dan derita rakyat, sambil tidak mengesampingkan, malah memperkukuh nilai toleransi dan kerukunan antara rakyat berbilang kaum.

Saya sedar bahawa negeri Johor punya banyak potensi untuk mencipta lonjakan. Seperti yang saya sebut dalam setiap pertemuan dengan rakyat Johor mahupun dalam program-program ceramah saya semasa tempoh berkempen ini, bahawa negeri Johor harus menjadi titik mula gelombang baharu rakyat untuk memungkinkan reformasi dan perubahan.

Sejak lebih dua tahun yang lalu, rakyat dan negara telah disusahkan atau telah diheret ke kancah ketidaktentuan. Kita diserang dengan wabak dan kelembaban ekonomi serta perangai elit politik yang tidak peka dan jauh dari denyut nadi rakyat.

Gejala rasuah dan kebejatan terus mengakar. Kebebasan dan tahap integriti institusi-institusi penting negara terus dinodai. Hak dan suara rakyat diinjak terus. Derita dan bebanan hidup rakyat semakin membarah. Kesenjangan antara yang kaya dan miskin terus memburuk. Ketangkasan pemerintah untuk mendepani masalah perubahan iklim juga sepertinya belum jumpa formula yang tepat. Meski pelbagai gesaan dan saranan dari KEADILAN dan PH, kerajaan yang ada ini seolah tidak ambil peduli.

Mesej saya jelas bahawa rakyat negeri Johor harus berani mencipta anjakan. Keputusan kalian di peti undi esok adalah penentu, tidak hanya masa depan negeri, malah masa depan negara dan demi kepentingan generasi akan datang.

Undilah KEADILAN dan PH!