Wanita KEADILAN fokus tawan tiga kerusi - Rodziah Ismail


 

Wanita KEADILAN akan berusaha habis habisan untuk menawan tiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Menurut Pemangku Pengarah Pilihan Raya Wanita KEADILAN Pusat, Rodziah Ismail, sayap wanita yakin dengan menawarkan tiga calon berkelayakan serta banyak melakukan aktiviti kemasyarakatan dan mengangkat isu rakyat, maka calon wanita akan mendapat kepercayaan pengundi pada 12 Mac nanti.

"Meskipun ini bermakna kaum hawa mewakili hanya 15 peratus dari kesemua 20 calon KEADILAN, Wanita KEADILAN Pusat berbesar hati kerana ketiga-tiga calon wanita ini diyakini dapat menyumbang kepada kemenangan parti dan Pakatan Harapan pada PRN ini.

"Ini bertepatan dengan pendekatan KEADILAN dan PH kali ini untuk menampilkan calon berpotensi tinggi tanpa mengira usia atau jantina.

"Lebih manis lagi, ketiga-tiga calon wanita ini merupakan anak Johor yang dikenali rakyat secara dekat setelah sekian lama bergiat aktif di lapangan, mengangkat dan menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan," katanya.

Menurut Rodziah lagi, Puan Napsiah Khamis Maharan, calon N47 DUN Kempas mempunyai latar belakang aktif sebagai aktivis sosial di samping menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Wanita KEADILAN Johor.

Begitu juga, Puan Zulinah Johari, calon N33 DUN Tenggaroh yang dalam kesibukan sebagai pemimpin persatuan dan masyarakat, tidak menghalang beliau berjaya sebagai seorang ahli perniagaan yang banyak berjasa mengembangkan perniagaan keluarga

Makanakala Puan Haryati Abu Nasir, calon N20 DUN Semarang pula tidak kurang hebat dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan pelbagai persatuan yang diseimbangkan dengan tugasan mencabar sebagai pembantu kejuruteraan

"Berdasarkan pengalaman dan prestasi mereka selama ini dalam semua bidang diceburi atau amanah diberi, terutama sebagai pemimpin Wanita KEADILAN di peringkat Pusat, Negeri dan Cabang, Wanita KEADILAN Pusat yakin ketiga-tiga calon wanita ini mampu mencipta kejutan dan seterusnya memberi khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya diberi mandat.

"Wanita KEADILAN Pusat juga berbangga kerana parti keramat ini mengetengahkan calon-calon wanita yang benar-benar layak dan terbukti mampu memantapkan lagi gerakan wanita di setiap peringkat," kata Rodziah lagi.

KEADILAN pada PRN kali ini bertanding di 20 kerusi dengan menggunakan logo sendiri dan diharap akan mendapat kemenangan lebih banyak berbanding Pilihan Raya Umum ke 14 lalu bagi memberi laluan kepada PH mengambil alih Kerajaan Negeri Johor.