TAN Sri Muhyiddin Yassin didakwa pernah berjanji untuk melepaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kes mahkamah yang dihadapinya, sekiranya Presiden Umno itu terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.
Perkara itu dinyatakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii menerusi ciapan di Twitternya dengan mendakwa, perkara itu berlaku ketika Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).
“Cuba tanya Muhyddin, semasa Umno tarik sokongan kepada beliau, kenapa ada pujukan dan rayuan kepada Zahid dan berjanji untuk melepaskan Zahid dari Mahkamah agar Umno terus sokong beliau sebagai PM.
“Nasib Zahid tidak layan dan berkeras mengantikan Muhyiddin. Selamat Rakyat,” katanya dalam ciapan itu.
Malah, Mohd Razlan berkata, Ahmad Zahid boleh sahaja tidak didakwa di mahkamah sekiranya mengikut kehendak Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri, untuk menyokong Bersatu dan membubarkan Umno.
“Tekanan dan ugutan (Dr Mahathir) tidak dilayan, terus arahan kepada AG (Peguam Negara) untuk mendakwa Zahid dan rakan-rakan Umno kerana terus berada dalam Umno,” katanya.
Sementara itu, Mohd Razlan turut mendedahkan ketika Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, keluarga Ahli Parlimen Pagoh itu menangis menelefon Ahmad Zahid bagi meminta ikhsan agar Muhyiddin tidak ditangkap kerana pecah amanah.
“Janji Zahid semasa Menteri KDN (ketika itu), tidak akan melakukan kezaliman kepada beliau (Muhyiddin) dan keluarga,” katanya.
Justeru, Mohd Razlan meminta Muhyiddin berhenti menabur fitnah terhadap Umno yang berjuang untuk kestabilan negara.
“Cukup-cukuplah menabur fitnah wahai Muhyiddin, parti Umno berjuang untuk Kestabilan, parti kamu pula terus berjuang untuk menabur hasad dengki.
“Semoga Rakyat semua kembali mengingati kegagalan semasa PH memerintah 22 bulan. Janganlah termakan dengan mainan hasad mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Razlan berkata, kata-kata Muhyiddin tidak boleh dipercayai ini kerana nama sebenarnya juga ‘ditipu’ satu negara.
“Ingat lagi Muhyddin berdegar-degar semasa kempen PRU14 membalun PAS, sekarang lain pulak. Hari ini dia berdegar-degar berkempen membenci dan menfitnah lagi,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Muhyiddin mendakwa pemimpin Umno mempunyai agenda tersendiri ketika menyokong pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020.
Muhyiddin berkata, perkara tersebut hanya diketahuinya selepas beberapa hari beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri apabila menerima kunjungan Ahmad Zahid.
“Beberapa hari selepas saya dilantik menjadi Perdana Menteri, Zahid datang ke rumah saya semasa saya sedang berbincang dengan (Tan Sri) Abdul Hadi Awang, bawa satu fail bertimbun-timbun (dokumen).
“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan).
“Saya kata pada dia, kalau tak buat apa yang dituduh buat apa nak takut, pergilah ke mahkamah, kalau tidak bersalah akan dibebaskan,” katanya.