Persaingan sengit politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor
kali ini seharusnya berlaku di antara Pakatan Harapan (PH) dan BN sahaja.
Pengundi sepatutnya tidak lagi menganggap Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan politik yang berwibawa dan mampu membawa suara mereka ke peringkat negeri mahu pun nasional.
Bagi Ketua Srikandi KEADILAN Tanjong Karang, Atiqah Syairah Shaharuddin, PRN Johor kelak akan menjadi medan pertempuran menenggelamkan naratif mana mana parti yang tidak sesuai dengan kehendak politik rakyat menuju Pilihan Raya Umum ke 15.
Katanya, PN yang semakin kucar kacir dan pemimpin Bersatu semakin memilih meninggalkan parti itu akan menjadi pemangkin kepada merudumnya gabungan itu selepas PRN kali ini.
"Haluan yang dibawa oleh rata-rata pengikut Azmin dan Zuraida (perancang Langkah Sheraton) adalah bukan lagi untuk bersama PN
"Ini jelas membuktikan retorik mereka keluar daripada KEADILAN untuk membina satu pembaharuan politik adalah falasi demokrasi.
"Kegagalan mereka untuk mendapatkan tempat di dalam parti (Bersatu) serta masyarakat adalah gambaran sebenar masa depan mereka menjelang PRU15," katanya.
Atiqah juga mengingatkan rakyat Malaysia terhadap mantan Ketua Srikandi KEADILAN, Nurainie Haziqah yang dahulunya meninggalkan KEADILAN kerana kononnya hilang keyakinan kepada idealisme parti lalu menyertai Bersatu dan kini menyertai Muda pula, mungkin atas alasan sama, hilang kepercayaan kepada parti itu.
"Dalam era sebuah kerajaan yang mempunyai seribu satu kelemahan, pastinya ada oportunis-oportunis yang gemar mengambil jalan singkat dan mewujudkan pseudo-kepembangkangan yang akhirnya mengelirukan rakyat.
"Namun, saya yakin kebijaksanaan rakyat dalam memilih dan mengundi.
"Jika pengikut para pemimpin yang jelas telah merompak demokrasi dalam Langkah Sheraton pun telah memilih untuk tidak bersama mereka (Bersatu), mengapa perlu rakyat Johor perlu memilih Perikatan Nasional lagi," katanya.