'PRN Johor stabilkan politik, Langkah Sheraton pun untuk stabilkan politik' - Syukri


 

Alasan pemimpin Umno Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk menstabilkan politik merupakan dalih basi yang diulang ulang sejak Langkah Sheraton, Februari 2020 lalu.

Menurut Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Syukri Razab, alasan kestabilan politik itu digunakan oleh Umno yang bersekongkol dengan Bersatu dan Pas merampas kerajaan dari Pakatan Harapan 2 tahun lalu.

Namun, katanya, sejak itu Malaysia memasuki era gelap dengan politik yang tidak pernah stabil sehingga hari ini.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai solusi membentuk pentadbiran aman damai bukan alasan baru, malah telah digunakan sejak Langkah Sheraton lagi.

"Alasan mereka sebab di bawah PH tak stabil. Mereka berhimpun dan buat pengkhianatan untuk wujudkan kerajaan lebih stabil. Kemudian (hal sama) berlaku di Sabah, Melaka dan Johor. Apakah kestabilan untuk rakyat, atau Umno yang mahu stabil? Umno mencari kepuasan dan ingin melampias nafsu politik mereka.

"Kalau lepas pengalaman Langkah Sheraton itu pentadbiran kerajaan cemerlang, kita boleh kata ok. Tetapi sejarah menunjukkan indeks rasuah merosot, harga barang melambung dan paling teruk pengurusan bencana (banjir huru hara).

"Saya rasa rakyat dah cukup bosan sebab ahli politik mengunggang mereka secara melampau ini. Sebab itu rakyat menjauhi ahli politik, mereka dah letih," katanya dalam forum terbitan Studio KEADILAN, malam tadi.

Tambah Syukri, rakyat Johor perlu disedarkan bahawa siri pilihan raya yang diwujudkan oleh Umno BN ini menyebabkan negara terpaksa berbelanja ratusan juta ringgit yang sepatutnya boleh dijimatkan jika PRN disekalikan dengan Pilihan Raya Umum.

"Berapa juta bajet untuk PRN Sabah RM160 juta, PRN Melaka RM40 juta, kalau kita tengok bajet Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk bantuan pasca banjir, kosnya RM60 juta sahaja. Kerajaan Muhyidin Yassin tahun lepas kata belanja RM170 juta untuk bakul makanan bagi 9.2 juta rakyat. Kalau dicampur semua bajet PRN ini maka boleh tampung banyak bantuan rakyat.

"Kalau Umno melihat kestabilan rakyat mereka tak ada masa nak fikir PRN. Kalau kita pergi Johor kita tengok banyak deretan kedai tutup. Ini yang sepatutnya dilihat kerajaan sebelum nak 'menunggang rakyat'," katanya.

Namun bagi pencacai Umno yang memperdaya rakyat kononnya ketika pentadbiran BN negara lebih baik, Syukri berkata mereka perlu membuktikannya, terutama berkenaan ekonomi orang Melayu.

Kata beliau, faktanya negeri termiskin di Semenanjung masih Kelantan dan Perak yang majorti Melayu. Kadar kemiskinan Melayu terus buruk sewaktu pentadbiran BN.

"Melayu selalu ditunggang oleh Umno untuk mereka berkuasa. Sedangkan apa yang berlaku, Melayu masih lagi merekodkan kadar kemiskinan tertinggi. Negeri teruk kadar kemiskinan masih lagi Kelantan dan Perak. Tak boleh bohong. Kemiskinan 2019 dah lain, garis kemiskinan (pendapatan isi rumah) naik kepada RM2,200.

"Kalaulah kita ini masih menganggap apa yang dibuat (termasuk PRN) oleh Umno untuk orang Melayu maka saya rasa kita sangat tersasar jauh," katanya lagi.