Oleh KHALID ABD SAMAD
Semasa PRN Melaka, BN telah mendapat hanya 38% undi popular
namun memperolehi majoriti 2/3 kerusi di DUN Melaka. Keadaan ini mungkin
dianggap pelik, namun itulah hakikatnya. Ianya berlaku kerana undi yang menolak
BN telah berpecah di antara PH, yang mendapat 37% dan PN, yang mendapat 25%
undi popular.
Memecahkan ‘undi menolak BN’ adalah peranan yang dimainkan oleh
PN dan inilah apa yang diharapkan oleh para strategis BN. Dan inilah apa yang
telah berlaku. Apabila ‘undi menolak BN’ berpecah, maka BN akan menang walaupun
tidak popular di kalangan majoriti pengundi.
Di Melaka 62% pengundi menolak BN, namun hasil strategi pecah
dan perintah ini, BN muncul sebagai pemenang dengan penuh bergaya. BN menang
dengan mencapai 2/3 majoriti di Dewan Undangan Negeri Melaka!
Sebenarnya strategi yang sama telah diusahakan BN semasa PRU 14.
Pada masa itu PAS digunakan sebagai alat pecah dan perintah dengan dipujuk dan
dipikat BN untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR). Harapan BN adalah, dengan
itu PR akan kalah di Pantai Barat kerana PR akan kehilangan undi PAS. Sambil
itu, PAS akan kalah di Pantai Timur kerana kehilangan undi PR.
Strategi ini gagal apabila pembentukan PH bersama Tun dan PPBM
telah berjaya dilakukan. Akibatnya, di Pantai Barat, undi BN sendiri telah
berjaya dikurangkan apabila sebahagian pengundi BN mengundi PH dan undi PH
melebihi undi BN walaupun PH telah kehilangan undi PAS.
Sebagai contoh, di Shah Alam, undi BN telah berkurangan dari
38,000 semasa PRU 13 ke hanya 22,000 pada PRU 14. Maka, walaupun PH telah
kehilangan 15,000 undi PAS, namun PH mendapat undi tambahan sebanyak 16,000,
iaitu dari pengundi yang telah undi BN pada PRU 13.
Di Pantai Timur, strategi ini telah gagal juga kerana pengundi
PH mampu membaca strategi BN. Kebanyakan dari mereka telah memutuskan untuk
tidak mengundi PH pada PRU 14 kerana kalau itu dilakukan maka BN akan menang.
Secara sedar, mereka mengundi PAS kerana pada ketika itu PAS tetap dianggap
lebih baik dan kurang mudaratnya berbanding BN. Oleh itu ‘undi tolak BN’
berjaya disatukan di Pantai Timur menghasilkan kemenangan PAS. Namun demikian,
malangnya, PAS setelah menang lupa daratan dan sanggup terus diperalatkan BN
sehingga digelar sebagai sekadar ‘Bohsia’ dan 'Pelacur' oleh pimpinan BN.
Dalam suasana dan realiti sebegini, PN sebenarnya memegang kunci
kepada kekalahan BN di Johor. Setelah puas digunakan oleh BN, PAS dan PPBM
sekarang ini ingin dibuang oleh BN. Ini jelas berlaku di Melaka di mana selepas
PRN Melaka, dua ADUN PPBM diabaikan BN dan mereka duduk bersama pembangkang
yang diketuai YB Adly Zahari. PN terus dihina BN dengan gelaran-gelaran
memalukan dan diperlakukan sebagai kumpulan yang tiada nilai dan tidak
bermaruah. Ini dilakukan walaupun BN masih memerlukan sokongan PN di Putrajaya.
Hina sungguh PN dilakukan sedemikian rupa oleh BN namun BN yakin PN tidak akan
bertindak balas kerana perkara yang amat sangat disayangi mereka sedang
dipegang kemas oleh BN.
Mereka tidak mampu melawan balik, selain mengeluarkan kata-kata
manja memujuk dan merayu…
Namun, sepertimana saya sebutkan tadi, sebenarnya PN memegang
kunci kepada kekalahan BN di Johor. Sekiranya PN tidak lagi sanggup
diperalatkan sebagai pemecah ‘undi menolak BN’ maka BN akan dapat dikalahkan di
Johor!
PN kena akui, peranan yang dimainkan mereka di Melaka akan
berulang di Johor. Sepertimana di Melaka, PN tidak mampu mengatasi undi BN dan
PH. Akhirnya BN juga akan menang kerana PN bertindak sekadar pemecah ‘undi
menolak BN’. Dan dengan kemenangan BN itu, PN akan terus dihina dan
diperlekehkan serta nilai yang ada pada PN tidak akan disedari atau dihargai.
Dan seterusnya, begitu jugalah kisahnya pada PRU 15 kelak!
PRU 15 mungkin terhasil apabila PN tidak lagi tahan dengan
penghinaan dan jolokan pemimpin-pemimpin BN dan menarik sokongan mereka
terhadap kerajaan BN pimpinan Ismail Sabri. Atau apabila BN sendiri menganggap
ianya sesuai diadakan setelah PN terus berpaut untuk bersama walaupun dihina dan
diperlekeh setiap hari dan ketika. Pada PRU 15 itu, akan berulang kembali
suasana yang sama dan PN akan kalah sekali lagi dan dipinggirkan seperti di
Melaka dan juga semestinya, di Johor.
Oleh itu saya harap PN memahami betapa mereka telah dan sedang
digunakan oleh BN untuk memuaskan nafsu BN untuk berkuasa bersendirian. Dengan
itu PN perlu hentikan dirinya dipergunakan sebegitu rupa dan menzahirkan diri
sebagai parti yang bermaruah dan mempunyai harga diri. Hentikan diri dari
digunakan sebagai pemecah ‘undi menolak BN’ dengan tidak bertanding dalam PRN
Johor. BN akan kalah dan dengan kekalahan ini BN akan kembali merayu dan
memujuk PN untuk bersama dalam PRU 15. Baru akan terzahir nilai tambah yang
dibawa PN.
Mungkin apa yang dicadangkan akan dilihat agak ekstrim oleh
sebahagian pimpinan PN. Namun ini sahaja caranya untuk mengajar BN yang telah
puas memperalatkan PN dari sejak ‘Langkah Sheraton’. Perlu diperakui kelicikan
BN. Menyokong PN pada awalnya hanya untuk muncul sebagai juara akhirnya.
Pepatah Melayu menyebut, “sokong membawa rebah” dan inilah nasib
PN di tangan BN. Disokong pada awalnya supaya PH dijatuhkan dan akhirnya
dijatuhkan pula PN dengan penuh hina dan nista.
Saya ulangi, PN pegang kunci kepada kekalahan BN di Johor. Kalau
PN boycott PRN Johor, ‘undi tolak BN’ akan menyatu dan BN akan dikalahkan. Baru
BN tahu langit tinggi atau rendah dan datang melutut kepada PN untuk bersama
dalam menghadapi PH semasa PRU 15.