PENGESAHAN MAHIADDIN KEKALKAN ISMAIL SABRI BERITA SEDIH BUAT ‘KLUSTER MAHKAMAH’ UMNO


 Mahiaddin Md Yasin akhirnya mengesahkan bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional tidak akan meninggalkan kerajaan atau menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Di sebalik cabaran berkali-kali oleh Najib Razak khususnya dan hubungan Bersatu serta PN yang makin tegang dengan UMNO, Mahiaddin nampaknya kekal tenang dan tidak mudah melatah.

Malah, bekas Perdana Menteri itu juga berkata, tindakan menarik sokongan atau menjatuhkan Perdana Menteri pada ketika ini adalah suatu tindakan bodoh, tidak bertanggungjawab serta pastinya tidak disukai rakyat.

“Meninggalkan kerajaan dan memaksa supaya pilihan raya umum diadakan semasa wabak Covid19 ini akan mencetuskan tindak balas negatif daripada orang ramai.

“Bersatu bukan parti yang tidak bertanggungjawab, malah sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.

“Supaya jangan rakyat terkorban disebabkan langkah bodoh kita. Bertindak sebegitu hanya untuk kepentingan parti diri semata-mata.

“Nanti rakyat akan kata ‘what the hell are you trying to do? In this Omicron. Do you want to see us die?’ Itu soalannya,” kata Mahiaddin lagi.

Dengan penegasan Mahiaddin ini, sekaligus ia merupakan berita yang menggembirakan buat Perdana Menteri kerana beliau kini seolah-olah tiada gugatan lagi.

Sedemikian, beliau boleh menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pelbagai masalah yang sedang melanda negara.

Bersama pengakuan Mahiaddin itu, disertai dengan MOU yang telah termetrai antara Ismail Sabri dengan PH yang menjanjikan kestabilan serta sokongan kepada kerajaan sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun ini, nampaknya tiada apa-apa lagi yang menggugat kedudukan Perdana Menteri.

Lagi pun, PH juga memerlukan lebih banyak masa sebelum mereka benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya.

Maka, tidak mustahil, walaupun MOU yang dimetrai hanya sehingga Julai, sokongan yang tidak ke arah menjatuhkan kerajaan akan berlanjutan lagi sehingga penggal Parlimen berakhir pada Mei 2023 akan datang.

Dengan itu, selain Ismail Sabri akan terus kekal sehingga hujung penggal, kerajaan Keluarga Malaysia yang antaranya menggabungkan UMNO dan Bersatu juga nampaknya mampu bertahan sehingga tempoh yang sama.

Begitu pun, perkembangan ini tentunya merupakan suatu berita sedih buat Zahid Hamidi, Najib Razak dan sebahagian kepimpinan UMNO sedia ada, terutama yang tiada jawatan dalam kerajaan serta kimpulan yang pro kepada “kluster mahkamah”

Dengan Ismail Sabri dilihat mampu bertahan sehingga ke tahun 2023, bermakna pemilihan UMNO mesti diadakan terlebih sebagaimana tempoh yang diberi RoS berakhir iaitu sebelum 29 Disember tahun ini dan selepas itu barulah PRU15 bakal dilangsungkan.

Sebarang usaha oleh mana-mana pihak dalam UMNO untuk memaksa PRU15 diadakan lebih awal selepas ini, dengan sendirinya jadi tidak relevan lagi.

Bahkan dengan kes Covid19 yang melonjak semula, cubaan berbuat begitu hanya akan menjadikan mereka dicop “budak jahat” oleh rakyat. – ShahbudinHusin 08/02/2022.