PAK LEBAI DOK MANA ? SIBUK KEMPEN KE ?

 

KONTRAVERSI KES LOH SIEW HONG DAN PENGISLAMAN TIGA ANAKNYA DARI PERSPEKTIF FIQAH DAN PERUNDANGAN NEGARA: JAWAPAN KEPADA KEKELIRUAN DAN YANG MENGAMBIL KESEMPATAN


1. Kes Loh Siew Hong ini sangat rumit kerana implikasinya bukan sahaja dari segi penafsiran perundangan negara tetapi juga melibatkan sensitiviti dalam hubungan antara kaum dan agama di negara ini. Fakta kes ialah suami Loh bernama Nagashwaran telah memeluk Islam menjadikan ikatan perkahwinan mereka terbubar secara perundangan. Pada March 2021, Loh telahpun mendapat penghakiman hak penjagaan anak-anak secara sepenuhnya tetapi gagal mendapatkan hak tersebut. Sementara itu pihak Jabatan Agama Islam Perlis melalui persetujuan bekas suami Loh telah mengislamkan tiga anak mereka masing-masing 14 tahun dan 10 tahun.

2. Ketika artikel ini ditulis, Loh sebagai ibu kepada anak-anaknya telahpun mendapat hak penjagaan melalui penghakiman Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 21hb Februari 2022. Walaupun fakta kes nampaknya hanyalah isu perundangan biasa tentang hak penjagaan namun implikasi sosial dan politik telah membentuk suasana luarbiasa di luar Mahkamah dari kalangan beberapa NGO Islam yang membawa naratif kebimbangan bahawa keIslaman ketiga anak-anak akan dicabar oleh ibunya secara berperundangan. Kebimbangan ini berasas namun berlebih-lebih dalam hal ini menimbulkan kekeliruan malah ada yang akan mengambil kesempatan menimbulkan ketegangan hubungan antara kaum dalam negara ini.

3. Naratif besar yang dibawa oleh sebahagian kelompok NGO Islam menggambarkan seolah ‘Aqidah Islam” tidak dibela dan ini menunjukkan kelemahan umat Islam kerana membisu dalam hal ini dan dikaitkan dengan kegagalan kepimpinan politik orang Melayu melakukan sesuatu demi membela ‘Aqidah Islam’. Keadaan diburukkan dengan reaksi balas kelompok bukan Islam terhadap kes ini sehingga berlaku berbalas tuduhan dan saman-menyaman antara P. Ramasamy Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Mufti Perlis SS Datuk Dr Asri Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan Dr Maza. Masing-masing mempunyai pengaruh dan pengikut yang diheret dalam kancah perbalahan ini, sedihnya kebajikan dan tekanan emosi kanak-kanak yang ibu-bapanya bercerai seolah tenggelam dalam kemelut ini.

4. Kes penukaran agama tiga anak pasangan ini bertukar menjadi polemik hubungan tegang antara kaum dan agama. Sebagai Ahli Legaslatif, saya cuba melihat isu ini secara objektif dari sudut kerangka perundangan negara serta implikasinya kepada konflik hubungan antara kaum dan agama di negara ini. Saya juga merasa bertanggungjawab melunaskan berbagai kekeliruan yang terbangkit dari nuansa-nuansa negatif yang meletakkan isu ini di atas garisan kebencian dan permusuhan sekaligus memburukkan nama baik Islam.

5. Penulisan ini tidak berniat menyalahkan mana-mana pihak dan saya yakin semua pihak yang terlibat dalam konflik ini mempunyai niat ikhlas (bona fide) dan mahu melihat penyelesaiannya secara niat suci (good faith). Saya hanya bimbang kepada pihak yang ambil kesempatan secara sedar atau tidak mengeksploitasikan keadaan dengan tindakan dan kenyataan yang berupaya membangkitkan sentimen kebencian antara rakyat dalam negara ini rentas semua pihak tanpa mengkhususkan terhadap mana-mana agama atau kaum.

6. Saya akan menjelaskan beberapa fakta penting dalam penulisan ini dengan izin Allah, berpandukan kepada 3 paksi utama, iaitu;

a. Dakwaan tidak bela Aqidah Islam dari beberapa NGO Islam dalam kes ini,

b. Fakta konflik perundangan dan

c. Tindakan politik yang wajar diambil

7. Untuk paksi pertama, kononnya pihak yang tidak bersama sebahagian NGO Islam ini dituduh tidak membela Aqidah Islam adalah satu dakwaan yang tidak berfakta dan sekadar menaikkan sentimen kebencian. Ini adalah kerana asas permasalahan yang kita sedang hadapi dalam kes ini adalah situasi di mana salah seorang pasangan bukan Islam telah memeluk Islam dan kemudian, mengislamkan anak-anak mereka yang di bawah umur sehingga menimbulkan isu dan konflik perundangan. Fakta situasi ini penting kerana kesannya membawa implikasi Fiqah dan perbahasannya, implikasi perundangan negara dan implikasi hubungan antara agama dan kaum dalam negara ini. Keseluruhan implikasi ini perlu diberi keadilan sebelum apa-apa rumusan dibuat terhadap pihak yang berbeza pandangan.

8. Bagi implikasi Fiqah pandangan para Fuqaha’ berbeza-beza kerana tiada nas yang jelas dari Al Quran mahupun Sunnah dalam situasi ini, apakah hukumnya? Para Fuqaha bersandarkan kepada dalil umum tentang Kebenaran Islam seperti Islam adalah agama di sisi Allah (Ali-Imran: 19) dan hanya Islam sebagai agama yang diterima oleh Allah (Ali-Imran : 85) dan tentang Kemuliaan Islam (Hadis Al lslam Ya’lu wa la Yu’la alaihi : Riwayat al Baihaqi. Dalil umum ini perlu diletakkan kepada Prinsip Keseluruhan Syariah (al Ahkam al Kulliyah) untuk diperincikan seperti nilai Kemanusiaan, Kasih Sayang dan Rahmah dalam institusi kekeluargaan. Sebab itulah mereka berbeza pandangan tentang status agama anak dalam memperincikan situasi yang keluar dari hukum asal dan para Fuqaha menjadikan Maqasid Khusus dalam hubungan kekeluargaan sebagai panduan formulasi hukum mereka.

9. Buktinya, Mazhab Syafie, Hanbaliy dan Hanafi meletakkan status agama anak terletak kepada keislaman salah seorang pasangan yang memeluk Islam. Anak-anak menjadi muslim atas keislaman ibu atau bapanya yang memeluk Islam atas dalil umum. Manakala dalam Mazhab Maliky, ia tidak mensyaratkan keIslaman kanak bawah umur atas jalur pengislaman, bahkan status agama anak bawah umur hendaklah mengikut jalur nasab. Anak-anak bawah umur itu hanya menjadi Muslim jika bapanya yang memeluk Islam. Ada yang berpendapat status agama kepada anak bawah umur dipilih oleh anak sendiri samada untuk mengikut ibu atau bapanya tanpa meletakkan syarat Islam.

Namun demikian tiada khilaf di kalangan Mazahib Fiqah bahawa dalam hal penjagaan anak-anak atau Hadhanah, kebajikan anak-anak dan perkembangan moral, fizikal, mental dan emosi anak-anak sebelum akil baligh adalah keutamaan dan boleh menjadi sebab kepada pembatalan hak hadhanah jika gagal dipenuhi keperluan tersebut oleh mana-mana pihak samada ibu atau bapa mahupiun penjaga mereka. Imam Al Shawkani (1229-1250 h) berpendapat pilihan anak untuk bersama siapa yang dia pilih bukanlah cara yang

terbaik

untuk selesaikan status agama anak kerana akhirnya yang utama ialah soal kebajikan anak yang menjadi pertimbangan utama dalam penjagaan anak-anak walaupun salah seorang daripada ibu-bapa yang menjaganya adalah dari yang bukan Islam.

10. Pandangan ulamak kontemporari dan perundangan yang diamalkan di negara-negara Islam lain juga melihat kemaslahatan kebajikan anak sebagai utama dan tidak mensyaratkan keislaman salah seoarang ibu bapa kanak-kanak sebagai hak otomatik penjagaan. Begitu pandangan Dr Arif al Syeikh dari Emiriah Arab Bersatu dan Syekh Dr Abdul Aziz Al Fawzan dari Saudi. Negara Emiriah Arab Bersatu memberi kuasa kepada Hakim melihat kemaslahatan kanak-kanak tersebut kepada ibu yang bukan Islam, begitu juga di Qatar dan Kuwait tidak mensyaratkan Islam untuk ibu yang menjaganya (dalam WasatOnline, edisi no 6/Disember 2015, Memberi Hak penjagaan Anak (Hadhanah) Kepada Non Muslim: Adakah Sikap Yang Wasatiy, Ustaz Mustazah Bahari)

11. Dari pandangan Fiqah di atas, apakah boleh dikatakan pandangan Ulamak Salaf dan Khalaf yang berbeza-beza tentang status agama anak seperti pandangan Imam Malik dan keperluan menjaga kebajikan anak-anak kepada ibu yang bukan Islam membawa maksud para ulamak besar yang diiktirafi keilmuannya tidak membela aqidah kanak-kanak bawah umur tersebut? Kenapakah pandangan-pandangan yang berbeza ini termasuklah ketetapan undang-undang di sebahagian negara umat Islam tidak dibantah demi menjaga ‘Aqidah anak-anak’ tersebut? Jawapannya ialah, umat Islam mengetahui bahawa ianya soal Ijtihad Fiqah dan Maslahah Perundangan yang asasnya diambil semangat dan sumbernya dari Syariat Islam kita. Ia memberi pengajaran penting bahawa kita tidak berhak menuduh orang lain tidak bela Islam hanya kerana berbeza pendapat dalam hal ini. Ambilah nasihat Imam Abu Hanifah yang berkata dalam soal ijtihad fiqah : “Inilah pandangan kami , Kami tidak memaksa sesiapa atas pandangan kami, dan kami tidak pula berkata kamu wajib mematuhi pandangan kami dengan cara paksa, barang siapa yang ada pandangannya tersendiri tentang sesuatu yang lebih baik maka berikanlah pandangannya” (al Intiqa’, Abdul Fatah Abu Ghadah, ms 258 dari https://www.fikhguide.com Adab al Khilaf Fi al Masail al Fiqhiyah).

12. Adapun jawapan kepada konflik perundangan di bawah isu pemelukan Islam sebelah pihak bagi anak-anak yang salah seorang ibu-bapanya memeluk Islam (unilateral conversion), ia harus dilihat dalam perspektif Maslahah (Kepentingan Awam) yang lebih besar untuk memelihara hubungan antara kaum dan agama serta keharmonian undang-undang. Tanpa meletakkan keperluan lebih besar untuk memelihara kestabilan institusi masyarakat majmuk, sikap beremosi dan simplistik boleh menjejaskan keharmonian sesebuah masyarakat dan kerana itu pendekatan secara objektif dan mendaulatkan perundangan negara adalah satu kemestian dari sudut Syara’. Mencapai Maslahah (Kepentingan Awam) adalah sumber syariat yang penting dalam urusan mentadbir negara menurut kerangka Siyasah Syariah. Konflik Undang-undang Persekutuan melalui Perkara 12(4) dengan kuasa Negeri dalam bab Keislaman seseorang kanak-kanak jelas bercanggah antara satu sama lain dari sudut had umur dan keizinan.

13. Dari sudut umur, ketetapan enakmen pentadbiran Islam sebahagian negeri meletakkan umur mumayiz (9-10 thn) sebagai had umur kebebasan memilih agama manakala dari sudut izin memadai satu pihak samada ibu atau bapanya untuk bawah umur memeluk Islam. Di peringkat Perundangan Persekutuan had umur 18 ke atas dan keperluan izin dari kedua ibubapa di bawah umur 18 ditetapkan. Bukti jalan penyelesaian ke arah konflik penukaran agama sebelah pihak atau unilateral conversion telah diusahakan oleh kerajaan Terengganu ketika PAS memerintah apabila adanya pindaan 2001 dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Terengganu seksyen 101 yang menyatakan: “Jika dia belum mencapai umur 18 tahun, ibu dan bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya”. Pada tahun 2003 pindaan sama dibuat di Selangor bawah seksyen 117 dengan peruntukan yang sama. Ini bukti pihak Pentadbiran Agama Islam melihat Kemaslahatan Keharmonian Perundangan mampu menamatkan konflik yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini. Apakah ini bermakna Kerajaan Negeri Selangor dan Terengganu tidak membela aqidah umat Islam dalam kes yang diperdebatkan ini ketika diluluskan dalam sidang DUN yang majoritinya adalah dari kalangan orang Islam. Wan Ji Wan Husin berpendapat dalam tulisannya di Malaysiakini (2019) bahawa pindaan di kedua negeri itu menunjukkan ijtihad baru dalam merungkaikan permasalahan ini dan dilembagakan dalam enakmen pentadbiran Islam.

14. Dalam isu tindakan politik yang wajar diambil, saya mensarankan supaya semua pihak berhenti untuk menjadi juara dalam isu ini dan tumpu kepada menstabilkan keadaan melalui pendekatan keharmonian perundangan antara Federal dan Negeri. Menteri Agama sepatutnya memainkan peranan besar ini melalui Jawatankuasa Penyelarasan Perundangan Syara’ dan Sivil untuk dimuzakarahkan segera dan menilai semula keputusan yang dibuat dan mengambil inisiatif penyelarasan dengan mengambil contoh Terengganu dan Selangor yang membuat pindaan untuk mengelak konflik Persekutuan dan Kuasa Negeri di masa hadapan berlaku. Saya telah melakukan inisiatif penyelarasan antara negeri semasa menjawat amanah sebagai Menteri Agama kerana memahami kesan kepada konflik perundangan boleh membawa kepada konflik sosial/agama. Jawatankuasa Sivil dan Syara’ di bawah Menteri Agama harus muncul menyelamatkan keadaan konflik ini.

15. Seterusnya dalam konflik P. Ramasamy dan Dr Maza, Menteri Agama harus mengambil inisiatif politik dengan menjadi orang tengah bagi mengelak merebaknya suasana kebencian antara kaum dan agama di negara ini. Saya pernah menjalankan tugas sebagai orang tengah semasa menjawat jawatan Menteri mendamaikan konflik antara dua tokoh ini pada tahun 2018 demi mengurangkan ketegangan pengikut masing-masing dan cuba menunjukkan sikap Kerahmatan Islam dalam menyelesaikan konflik antara kaum dan agama di negara ini. Pihak Menteri Agama dan Timbalannya seharusnya mengelak daripada membuat kenyataan umum yang melihatkan ketidakfahaman mereka kepada kerangka perundangan negara dan kuasa antara Negeri dan Persekutuan. Mainkan peranan sebagai cabang eksekutif negara yang mengendalikan soal dasar dan perundangan negara dan bukan menunggang atas sentimen dan emosi. Parti-parti politik pula tidak perlu berlumba-lumba untuk membuktikan partinya lebih layak membela kes ini dari yang lain. Mereka harus cari jalan penyelesaian dalam konflik perundangan ini dan menenangkan rakyat melalui insiatif memelihara keharmonian antara kaum.

Akhirnya saya ingin memetik dari artikel Journal Of Syariah Law Research (2016) Vol 1 ms 89-104 oleh Mohd Taufiq Mohd Tasrip yang memetik Zaini Nasohah sebagai berkata bahawa “Isu konflik ini dapat diselesaikan melalui saluran perundangan sekiranya perundangan jelas, perlaksanannya jelas dan peruntukan perundangan dipatuhi tanpa emosi keagamaan, termasuklah kepada keputusan Mahkamah Tinggi”

Tiada pilihan dalam melihat konflik kes Loh Siew Hong dan unilateral conversion anak-anaknya melainkan melalui penyelarasan undang-undang enakmen Islam negeri dan Persekutuan bagi mengelak konflik yang sama berulang di masa hadapan. Tiada jaminan dalam keadaan pasca pandemik yang sukar ini, keadaan tidak akan menjadi lebih buruk dalam hubungan antara kaum dan agama di negara ini. Seluruh kita harus meyakini bahawa politik damai adalah jalan

terbaik

. Firman Allah dalam Hujurat

“Wahai Manusia, kami ciptakan kamu dari Lelaki dan Wanita dan kami jadikan kamu berbagai bangsa dan kelompok agar dengan itu kamu dapat kenal mengenali antara satu sama lain dan sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisiKu adalah mereka yang paling bertaqwa antara kamu” (13)

Yb DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden Parti AMANAH

Pengerusi PH Perak

Ahli Parlimen Parit Buntar

24 February 2022