MUHYIDDIN DEDAH ZAHID HAMIDI, NAJIB DATANG TEMUINYA MINTA SELESAI KES MAHKAMAH

 

Pemimpin UMNO didakwa mempunyai agenda tersendiri ketika menyokong pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perkara tersebut hanya diketahuinya selepas beberapa hari beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri apabila menerima kunjungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Beberapa hari selepas saya dilantik menjadi Perdana Menteri, Zahid datang ke rumah saya semasa saya sedang berbincang dengan (Tan Sri) Abdul Hadi Awang, bawa satu fail bertimbun-timbun (dokumen).

“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan).

“Saya kata pada dia, kalau tak buat apa yang dituduh buat apa nak takut, pergilah ke mahkamah, kalau tidak bersalah akan dibebaskan,” katanya ketika berucap di Pentas PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di Felda Tenggaroh 3, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, beliau tidak dapat menolong Ahmad Zahid sekali gus tidak mahu mencampuri urusan mahkamah kerana mempunyai pendirian dalam perkara membabitkan badan kehakiman negara.

“Saya kata ‘maaf’, mahkamah adalah badan kehakiman yang besar dan saya tidak boleh campur tangan walaupun saya Perdana Menteri. Saya kata saya tidak boleh bebaskan dia, saya tidak boleh buat begitu.

“Mana boleh buat begitu saya beritahu dia, ini soal mahkamah, pergi ke mahkamah bebaslah kau (sekiranya tidak bersalah). Rupanya dia marah dan tidak berpuas hati,” katanya.

Menceritakan lanjut, beliau tidak menyangka permintaan tersebut tidak terhenti di situ apabila selain Ahmad Zahid, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut datang mengunjunginya selepas itu.

“Satu hari bos awak, bos awak siapa, bosku, malu apa bosku. Malu apa bosku tak malu. Bosku datang ke pejabat saya beri penghormatan sebagai Perdana Menteri, dalam cerita punya cerita, dia cerita juga kes mahkamah.

“Kalau boleh minta saya keluarkan (Datuk Seri Gopal) Sri Ram. Mana boleh, saya tidak akan buat macam itu. Akhirnya dalam tempoh beberapa bulan kedudukan kerajaan yang awal-awal ok dah jadi macam tak berapa ok, bergoyang-goyang,” katanya. – UTUSAN.

Sumber – https://www.utusan.com.my/nasional/2022/02/muhyiddin-dedah-zahid-bawa-timbunan-fail/