MUDA MASIH TERLALU MENTAH, BELUM LAYAK DIBERI BANYAK KERUSI

 

Yang sahihnya setakat ini Muda telah diberi enam kerusi untuk ditandingi dalam PRN Johor, 12 Mac depan.

Daripada enam kerusi itu, empat diberikan oleh Amanah, manakala dua oleh DAP.

Rundingan Muda dengan PKR difahamkan masih berjalan di mana tiga kerusi yang sedia diberikan PKR sebelum ini dikatakan tidak berapa dipersetujui oleh Muda.

Difahamkan, Muda mahu meminta kerusi yang lebih selamat dan lebih menjamin kemenangan buat mereka berbanding tiga kerusi yang mahu diberikan PKR.

Jika rundingan dengan PKR itu akhirnya memihak kepada Muda, parti itu mungkin bertanding sehingga sembilan kerusi dalam PRN Johor ini, tetapi kalau semuanya kekal buntu, sekurang-kurangnya enam kerusi sudah tersedia buat parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu untuk kemunculan sulungnya di pentas pilihan raya.

Sama ada enam atau sembilan kerusi yang bakal ditandingi Muda, adakah ia memadai, terlalu sedikit atau terlebih banyak?

Sudut paling asas yang harus disedari ialah Muda merupakan parti politik baru yang semua barisan kepimpinannya, kecuali Syed Saddiq, adalah juga merupakan orang-orang baru serta masih hijau dalam pengalaman berpolitik.

Bulan saja pengalaman dalam bermain politik, lebih hijau lagi tentunya ialah pengalaman menyertai pilihanraya serta ilmu berkaitan pengurusan pilihanraya.

Kalau orang muda lain yang pernah menyertai UMNO, PKR, Pas dan lain-lain parti, pengalaman awal mereka dalam pilihanraya mungkin bermula dengan memasang poster, terlibat aktiviti gerak gempur, keselamatan dan seumpamanya, tetapi adakah pimpinan Muda pernah melalui semua pengalaman itu?

Oleh kerana baru saja diluluskan pendaftarannya, pernahkah juga pimpinan Muda mengikuti sebarang kursus pengurusan pilihanraya?

Tahukah mereka apa itu PACABA, GOTV dan lain-lain istilah berkaitan pilihanraya, selain tugas sebenar di pusat pembuangan undi dan pusat pengiraan undi?

Jika tiada pengetahuan dan pengalaman dalam semua itu, apakah Muda mahu menumpang belas ihsan jentera PH semata-mata?

Di samping itu, sebagai parti politik yang bertanding dan tentunya ingin menang, faktor penting lain yang harus dimiliki ialah kekuatan Muda sendiri.

Dalam hal ini, berapa ramai ahli Muda, khususnya di Johor?

Berapa pula jumlah cawangan dan bahagian yang telah berjaya ditubuhkan sejak Muda didaftarkan?

Ada berapa cawangan dan bahagian Muda di Johor sekarang ini?

Kalau ahli parti tidak seberapa, jumlah cawangan dan bahagian pun tidak lebih banyak daripada jumlah jari-jari di tangan, bagaimana Muda mahu mewujudkan jentera bagi menarik pengundi untuk mengundi mereka?

Apa yang terlihat sekarang, Muda ternampak hanya lincah di media sosial, tetapi semua itu tidak mencukupi untuk menang dalam pilihanraya.

Rangkuman pelbagai faktor, indah di alam maya dan indah juga di alam nyata, adalah resipi terbaik untuk menjadikan kita sebagai pilihan di hati pengundi.

Tidak guna jika hanya gempak di media sosial tetapi kehadiran mereka tidak dapat dirasai oleh pengundi.

Mengharapkan Muda dan faktor Syed Saddiq sebagai pertaruhan untuk menarik undi golongan muda, lalu mengabaikan faktor-faktor lain atau menganggapnya tidak penting, mungkin bukan pertimbangan yang tepat.

Hakikat yang tidak dilupai, imej Syed Saddiq telah banyak pun tercemar berikutan beliau kini adalah kluster mahkamah dan pengakuan kehilangan beratus ribu ringgit wang tunai daripada kediamannya tidak lama sebelum ini.

Meski beliau telah menjawab itu merupakan wang simpanan milik ibu bapanya, tetapi jika kita membangkitkan isu berkenaan dengan ramai orang, ternyata masih ramai yang ada keraguan dengannya.

Itu belum termasuk lagi berkaitan video serta gambarnya yang tidak sepatutnya yang pernah tersebar di media sosial dan menjadi bualan hangat sebelum ini.

Pokoknya, apakah dengan imej sebegitu, Syed Saddiq masih diharapkan lagi untuk dijadikan ikon kepada anak-anak muda negara ini, seterusnya untuk PH menumpang untuk memperolehi undi golongan muda?

Tidak mustahilkah lebih ramai yang menjauhinya?

Untuk itu, sama ada enam, lebih-lebih lagi jika sembilan kerusi diberikan kepada Muda, ia adalah jumlah yang terlalu banyak serta tidak munasabah dan tidak sepadan dendan kedudukan parti itu.

Muda perlu mengukuhkan kedudukannya dulu dan bagi tujuan mahu memberi pengalaman bertanding dan memahami apa itu proses pilihanraya, Muda sepatutnya hanya diberi satu atau dua kerusi saja di PRN Johor ini.

Biar mereka belajar jadi “balaci” atau “macai” terlebih dahulu, bukan terus melompat mahu jadi “boss”, walau kosong serba serbi. – ShahbudinHusin 14/02/2022.