Tindakan Muda meletakkan calon di kerusi KEADILAN, DUN Larkin
menimbulkan tanda tanya mengenai kesetiaan parti itu terhadap prinsip
perjuangan bersama sebagai sekutu Pakatan Harapan (PH).
Bagi Pengerusi Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Syamil Luthfi, semangat yang diharapkan akan menumbangkan BN dan PN di Johor nampaknya sukar terjadi sebaliknya akan mengeruhkan keadaan menjelang Pilihan Raya Negeri Johor dengan tindakan Muda melanggar KEADILAN itu.
Syamil
Luthfi
"Saya meluahkan rasa kecewa rentetan pengumuman Parti Muda
yang meletakkan calon mereka bagi menentang calon KEADILAN di DUN Larkin pada
PRN kali ini.
"Mungkin benar semangat ini mampu menyemarakkan demokrasi
oleh semua pihak dalam membawa perubahan di negeri Johor.
"Walau bagaimanapun, ini bukanlah semangat setiakawan yang
baik dan seharusnya Muda menitikberatkan usaha bersama menghadapi musuh yang
jelas lebih besar. Saya percaya tindakan Parti Muda akan merugikan pihak
pembangkang dan akan menguntungkan pihak lawan.
"Seharusnya, Muda sebagai sebuah parti yang mempunyai hasrat
yang sama seperti PH perlu selari dengan agenda yang digariskan, bukan
sebaliknya menentang KEADILAN," katanya.
Syamil mengingatkan, tindakan yang ditunjukkan oleh Parti Muda itu tidak selari dengan apa yang dicanangkan oleh pimpinan mereka iaitu untuk membawa politik yang matang dan bermaruah.
"Oleh itu, saya akan berbincang dengan pimpinan KEADILAN untuk menilai kewajaran meletakkan calon dari Mahasiswa KEADILAN di DUN Puteri Wangsa sebagai tindak balas.
"Matlamat kita adalah reformasi institusi serta sosioekonomi
negeri Johor khususnya dan Malaysia secara amnya untuk masa depan yang lebih
cerah, dan perkara ini hanya boleh dicapai melalui permuafakatan,"
katanya.