Membanteras katak politik – bagaimana?

 


Artikel ini dimulakan dengan imbasan sejarah politik tanahair. Pada Ogos 1988, Shahrir Samad meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru. Beliau mengosongkan kerusi Johor Bahru sekaligus “memaksa” pilihan raya kecil diadakan.

Tindakan itu antara “highlight” tumpahan ‘perang’ Umno 1987 antara Tim A pimpinan Mahathir Mohamad dan Tim B yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah. Shahrir menyebelahi Ku Li.

Pada PRK yang “terpaksa” diadakan itu, Shahrir yang bertanding sebagai calon bebas dengan menggunakan lambang “kunci” menang bergaya untuk kembali sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru.

Ramai yang percaya langkah Shahrir “memaksa” PRK diadakan berdasarkan prinsip. Beliau dikatakan mengosongkan kerusi berkenaan sebagai protes terhadap Mahathir, Perdana Menteri ketika itu yang memecat Ketua Hakim Negara Salleh Abas. Mengapa dan kenapa sudah diulas berpuluh, mungkin juga beratus kali. Oleh itu tidak perlu diulang disini.

Cuma di sini ingin mengingatkan langkah Shahrir dikatakan juga untuk “membuktikan” Mahathir sudah tidak “relevan”, tidak lagi disenangi ramai termasuk ahli Umno dengan kemenangan tipisnya ke atas Tengku Razaleigh pada pemilihan parti April 1987, dan cara Mahathir menubuhkan Umno Baharu untuk menggantikan Umno yang diisytihar haram oleh mahkamah.

“Bukan Shahrir hendak memaksa PRK diadakan,” kata Tawfik Ismail yang bersama Shahrir menganggotai Tim B pimpinan Ku Li. Kedua-duanya orang kuat Musa Hitam yang menjadi regu Ku Li waktu itu.

“Shahrir dicabar oleh Abu Bakar Dewa seorang pemimpin Pemuda Umno Johor waktu itu apabila Mahathir memecat Salleh Abas,” kata Tawfik.

Menurut beliau, permohonan Shahrir untuk menyertai Umno yang ditubuhkan Mahathir disekat hampir satu tahun kerana kesetiaannya diragui Mahathir dan orang-orangnya.

Apa pun, langkah Shahrir meletak jawatan sebagai ahli Umno dan kembali sebagai Ahli Parlimen bebas menyaksikan (mungkin juga mendorong) pindaan ke atas Perlembagaan pada 1990 dan lahirlah Artikel 48(6).

Mengikut pindaan itu, seseorang Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dilarang bertanding apa-apa pilihan raya selama lima tahun bermula tarikh mereka melepaskan kerusi yang disandang.

Bekas menteri BN Nazri Aziz yang menyokong artikel itu pernah dipetik berkata ia menghalang Ahli Parlimen dan ADUN yang dipilih rakyat melepaskan kerusi “sesuka hati” apabila menghadapi masalah dengan parti sendiri.

“Anda tidak boleh adakan pilihan raya untuk uji populariti anda. PRK menelan belanja besar, makan masa, dan memerlukan logistik besar,” Nazri pernah dilapor berkata satu masa dahulu.

Rata-rata ramai yang setuju dengan pendapat itu kerana menyifatkan Artikel 48(6) menghalang Ahli Parlimen dan ADUN bermain politik dan “take the voters for granted”.

Maksudnya secara am ramai anggap peruntukan Artikel 48(6) adalah baik dan bagus.

Bagaimanapun ada juga ahli dan pemerhati politik yang berpendapat oleh kerana Ahli Parlimen dan ADUN tidak boleh letak jawatan dengan mengosongkan kerusi, mereka lebih cenderung untuk tukar parti daripada kena “ban” bertanding pilihan raya selama lima tahun.

Maka timbullah sang katak politik melompat lompat. Adakah Artikel 46(8) sebabnya wujudnya gejala lompat parti? Atau menggalak gejala itu? Menang atas tiket parti A lompat ke parti B.

Apa pun mungkinkah itu sebabnya Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan mungkin akan mentiadakan Artikel 48(6). Ini kata beliau sebahagian usaha kerajaan membentangkan satu RUU anti lompat parti di Parlimen bulan depan.

Dalam erti kata lain, kerajaan percaya memansuhkan Artikel 48(6) antara cara menghentikan gejala lompat parti. Bolehkah disimpulkan begitu? Adakah langkah ini betul dan wajar?

“Kami sedang teliti Artikel 48(6) Perlembagaan. Kami memutuskan dalam (cadangan) undang-undang lompat parti seorang wakil rakyat yang dikeluarkan atau terkeluar daripada partinya boleh bertanding semula dalam PRK,” kata Wan Junaidi.

Ini, kata beliau bagi memastikan sama ada penyandang jawatan mendapat mandat kerana kewibawaan serta personaliti sendiri atau kerana partinya.

Adakah pandangan itu logikal lantas boleh diterima? “Ia logik tetapi tidak beretika,” kata Tawfik. Jika seorang MP lompat parti dan mencetuskan PRK, perlembagaan yang menjamin kebebasan berpersatuan (freedom of association) memainkan peranan dan diambil kira,” menurut beliau.

“MP (wakil rakyat) yang melompat tadi dan menyebabkan PRK boleh menuntut ‘freedom of association’. Sekiranya MP tersebut menang pilihan raya dengan penuh jentera parti, bukan populariti dirinya, ianya dapat dilihat daripada keputusan pilihan raya berkenaan.

“Jika tujuannya untuk mengelak dan menghalang, akuan bersumpah perlu ditandatangani dan jika ia dilanggar, MP yang melompat boleh dikenakan tindakan termasuk disaman,” kata beliau lagi.

Persoalannya adalah sama ada apa yang dikatakan Wan Junaidi boleh menghalang gejala lompat parti? Bagi Tawfik, “masalahnya ialah dalam politik kita tidak dapat meramalkan apa akan berlaku. Kalau seorang MP disingkir atau dia mengundi menentang whip partinya berhubung sesuatu rang undang undang, adakah dia disifatkan sudah lompat parti?

“Bagi ahli bebas pula mereka boleh tukar fikiran sentiasa. Adakah mereka mesti dikenakan tindakan disiplin?”

Tawfik, anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri Ismail Abdul Rahman pernah menjadi Ahli Parlimen Umno bagi Sungai Benut (kini dikenali Simpang Renggam) dan sekarang anggota Gerak Independent, kumpulan calon bebas yang menawarkan diri pada PRU15 kelak.

Bagi Wan Junaidi pula buat masa ini takrif lompat parti belum ditentukan. Belum ada “consensus” katanya kerana setiap parti politik takrif “anti-lompat”, apa maknanya, dan apa ia merangkumi.

Pemimpin DAP, Ronnie Liu, bagaimanapun tidak setuju. Katanya mungkin ada beberapa pandangan dan pendapat berbeza mengenai takrif lompat parti tetapi sentiasa ada “common basis” atau sesuatu yang boleh dipelajari daripada masa lalu.

Bagi beliau undang-undang anti-lompat bermakna seorang wakil rakyat mahu keluar partinya mesti melepaskan kerusi yang disandang. Namun dia dibenarkan bertanding semula pada pilihan raya yang diadakan. Ertinya beliau bersetuju dengan apa yang berlaku 34 tahun dahulu membabitkan Shahrir Samad di Johor Bahru.

Lompat parti biasanya dikaitkan dengan unsur negatif, tidak baik malah kotor. Ramai syak ada unsur rasuah terbabit. Lalu ramai yang jijik. Lantas timbul istilah katak yang dihujani pelbagai maki hamun, kutukan, dan jenaka sinis lagi pedih.

Sejak berzaman kita dengar perlunya satu mekanisme diwujudkan untuk membanteras gejala ini, termasuk mencipta undang-undang anti-lompat. Sehingga kini tidak ada yang berhasil meskipun banyak kaedah dicadangkan. Realitinya gejala ini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Kita tunggu Mac ini apa yang akan kerajaan bentang di Parlimen. Amat menarik kerana ada dalam kalangan yang duduk dalam kerajaan sekarang mula-mula dapat jawatan menteri dan timbalan menteri menerusi “acara lompat” besar-besaran pada Februari 2020 yang dikenali Langkah Sheraton.

Saya ingin nyatakan satu cadangan pelbagai pihak dalam usaha mengatasi kemelut atau kebuntuan dalam memerangi gejala lompat.

Cadangan mereka “simple”. Seseorang YB yang lompat parti mesti mengsongkan kerusinya di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri tetapi kerusi itu tetap milik parti asalnya. Maka partinya akan terus menjaga kerusi itu.

Kedudukan dalam Dewan atau jumlah kerusi yang dimenangi tidak berubah. “The numbers” kekal, maka sesebuah kerajaan yang sah dipilih rakyat tidak boleh ditumbangkan oleh katak politik.

Saya kira ini cadangan baik dan mungkin juga efektif walaupun diakui ia perlu diteliti dan dihalusi lagi.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.