Mbappe akhirnya sertai Real Madrid, bakal mendapat gaji tertinggi di dunia

 

Mbappe akhirnya sertai Real Madrid, bakal mendapat gaji tertinggi di dunia


Kylian Mbappe bakal memperoleh gaji yang luar biasa apabila dia menyertai Real Madrid pada penghujung musim.

Penyerang Paris Saint-Germain, Mbappe yang kontraknya akan tamat pada musim panas ini boleh berunding dengan mana-mana kelab luar mulai 1 Januari.

Menurut media Jerman BILD, Mbappe kini telah bersetuju untuk menyertai Madrid secara percuma pada penghujung kempen.


Dia bersedia untuk ditawarkan perjanjian bernilai €50 juta (£41.5 juta) setahun sebelum kiraan cukai, menjadikannya pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia berdasarkan gaji sahaja.

Kontrak yang bakal ditandatangani oleh Mbappe akan menyaksikan dia dibayar sekitar €137,000 (£114,100) setiap hari, atau untuk pecahan lebih terperinci lagi, sekitar €1.58 (£1.32) setiap saat.

Madrid akhirnya akan merealisasikan hasrat mereka untuk mendapatkan pemain antarabangsa Perancis itu selepas gagal menandatanganinya tahun lalu.

Madrid telah membuat beberapa bidaan untuk Mbappe pada musim panas lalu dan sanggup membayar sehingga €200m (£166.5m) untuk penyerang itu.

Tetapi mereka terpaksa meninggalkan meja rundingan selepas Paris Saint-Germain tidak menjawab tawaran terakhir mereka.

Presiden Real Madrid Florentino Perez kemudiannya telah meluahkan kekecewaannya tentang keengganan PSG untuk menjual Mbappe.

“Kelab milik kerajaan tidak menjual pemain mereka. Ia satu kegilaan,” katanya.

“Sekarang kami menawarkan €200 juta untuk seorang pemain dan mereka tidak menjualnya. Apabila pemain menamatkan kontrak mereka, itu lebih baik.”

Sementara itu, pengarah sukan PSG Leonardo menuduh rakan sejawatannya di Real Madrid telah melakukan “kesalahan” dan cuba menghubungi Mbappe tanpa kebenaran mereka.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, Real Madrid berkelakuan begini, tidak betul, menyalahi undang-undang walaupun mereka menghubungi pemain tersebut. Ia tidak boleh diterima oleh kami, kerana ianya adalah kesalahan,” katanya.

“Ia adalah bukti strategi: tawaran datang setahun sebelum tamat kontraknya dan tujuh hari sebelum tamat tempoh.”

“Mereka mahu kami menolak, untuk menunjukkan kepada Kylian bahawa mereka mencuba segala-galanya dan mula berunding untuk tahun depan.”

Mbappe sebelum ini berkata dia berharap PSG akan bersetuju untuk menjualnya supaya mereka boleh menerima bayaran perpindahan, dan bukannya meninggalkannya secara percuma pada penghujung musim.