KEADILAN mengumumkan 7 lagi calon yang akan bertanding dalam
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekaligus melengkapkan 20 kerusi kesemuanya.
Tiada satu kerusi pun diberikan kepada Muda.
Dalam ucapan pengumuman calon di Kampung Kopok Baru, petang tadi, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyelar sikap Menteri Komunikasi dan Multimedia yang tidak membenarkan calon calon pembangkang berkempen menggunakan media rasmi di tengah tengah keterbatasan ceramah umum menghadapi peraturan ketat Covid 19.
"Kita seperti biasa menjelaskan melalui proses demokrasi. Demokrasi kita ini tercemar kerana banyak tonggak demokrasi itu dirosakkan. Media alternatif ada tetapi media arus perdana penting juga.
"Tv yang dikuasai kerajaan tidak memberikan ruang seperti dijanjikan. Saya masih ingat pertemuan dengan PM Ismail Sabri, sekurangnya (minta diadakan) ruang untuk pembangkang dan wakil mereka menyampaikan mesej, tidak sama dengan dinikmati Umno BN tetapi ada sedikit ruang.
"Itu janji yang disampaikan oleh PM kepada Menteri Komunikasi Tan Sri Annuar Musa, tetapi sampai hari ini, seperti mana berlaku di Melaka dan Sarawak tidak ada perubahan itu berlaku," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegur sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak proaktif dalam memastikan pengundi keluar mengundi pada PRN kali ini.
"SPR tidak ada kekuatan memberi teguran supaya PRN bebas dan adil. Apa tugas SPR? Tugas bukan sahaja ikut peraturan kecil. Suruh daftar pengundi pos di Singapura pun gagal. Tugas SPR cari jalan orang keluar mengundi.
"Ingat Undi 18 (dulu alasan), tidak siap, macam macam sehingga saya beri kata dua kepada PM Ismail Sabri, memorandum kerjasama akan terbatal sekiranya Undi 18 tidak diteruskan. PH yang menetapkan mesti diselesaikan tahun lalu.
"Kita mahu SPR bertindak lebih proaktif. Berwibawa, meletakkan SOP. Semua mesti pakai pelitup muka. SPR perlu memberi teguran, media (perlu) bebas.
"Kita berjuang mengikut lunas demokrasi dengan segala keterbatasan yang ada. Tetapi ini bukan pula alasan kita tidak bekerja kuat," katanya lagi.
Baki 7 calon DUN yang diumumkan Anwar petang termasuk muka baharu dan lama, iaitu:
Haryati Abu Nasir (DUN Semarang)
Khairuddin A Rahim (DUN Rengit)
Zulinah Johari (DUN Tenggaroh)
Omar Mokhtar A Manap (DUN Johor Lama)
Rosman Tahir (DUN Tanjung Surat)
Haniff @ Ghazali Hosman (DUN Benut)
Mohd Zaiful Bakri (Kukup)