KEADILAN tidak akan bantu Muda jika kekalkan calon di DUN Larkin - Syed Ibrahim


 

Keputusan mengejut Muda meletakkan calon di DUN Larkin yang telah dipersetujui akan ditandingi oleh calon KEADILAN boleh mengundang tindak balas negatif.

Walau bagaimanapun, menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, parti itu tidak akan membuat tindakan serupa dengan 'melanggar' mana mana kerusi yang ditandingi Muda kerana menghormati persefahaman bersama DAP dan Amanah yang mempunyai perjanjian kerjasama bertulis dengan Muda.

"Saya sedar mungkin tindakan ini (meletakkan calon) diambil kerana kerusi yang dituntut oleh Muda dalam rundingan tidak dipersetujui oleh KEADILAN.

"Namun wajar saya tegaskan dan ingatkan bahawa tindakannya itu bercanggah dengan pendekatan membawa suara rakyat dan lawan musuh bersama, malah lebih buruk lagi, ia seolah-olah memberi kemenangan kepada lawan.

"KEADILAN tidak akan mengambil langkah serupa untuk melanggar kerusi Muda kerana menghormati rakan-rakan Amanah dan DAP dalam Pakatan Harapan. Itu tindakan kurang bijaksana malah akan dicemuh oleh pengundi yang sudah muak dengan politik perebutan kuasa. KEADILAN akan terus bertanding di kerusinya untuk memenangi hati pengundi," kata Syed Ibrahim.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Ledang tersebut memberi pilihan kepada Muda untuk menarik balik keputusan meletakkan calon di Larkin menjelang penamaan calon esok atau KEADILAN tidak akan membantu parti itu dalam kempen PRN kali ini.

"KEADILAN hanya akan tumpu kepada membantu calonnya dan calon Amanah serta DAP dalam PRN ini sekiranya Muda tetap meletakkan calonnya di kerusi ditandingi KEADILAN.

"Muda masih ada masa untuk menimbang semula tindakannya sebelum penamaan calon pada 26 Februari.

"Memang benar rakyat yang akan menentukan siapa pilihan mereka tetapi biarlah pertimbangan dibuat atas dasar dan sikap yang betul dalam politik," katanya lagi.

Kerusi N44 Larkin menjadi tumpuan apabila Muda mengumum akan meletakkan pemimpinnya untuk bertanding di sana selepas KEADILAN tidak menunaikan permintaan mereka untuk mendapatkan kerusi Larkin dan Gambir sebelum ini.