12 Mac. Kamu adalah pengundi di Johor, kamu sudah merendam sebatang jari ke dalam dakwat untuk melakukan satu tanggungjawab sebagai rakyat, iaitu memilih sebuah kerajaan yang stabil. Konon!
Hakikatnya, kerajaan Johor pimpinan Umno dan dibarisi oleh Bersatu yang ada sebelum ini adalah sebuah kerajaan yang boleh stabil jika mahu, meskipun hanya minoriti. Kamu berdiri di hadapan peti undi tanpa sebab di Pilihan Raya Johor ini kerana ada mitos tentang kestabilan. Kamu tidak percaya kepada mitos ini.
12 Mac, kamu adalah pengundi di Johor, kamu sudah merendam sebatang jari ke dalam dakwat untuk melakukan satu tanggungjawab sebagai rakyat, iaitu memilih sebuah kerajaan yang stabil. Konon!
PAS pernah memerintah Kelantan dengan kelebihan hanya, ya hanya satu kerusi antara 2005 sehingga 2008. Pada 2004, PAS memenangi 24 buah kerusi DUN Kelantan. Setahun selepasnya, seorang ADUN parti tersebut meninggal dunia dan berlakulah Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir di mana PAS tewas sehingga menyebabkan kedudukan DUN berada pada angka 23-22. Pun kerajaan PAS bertahan sehingga PRU 2008. Kerajaan PAS tatkala itu digelar ‘Kerajaan Dua Undi’ kerana salah satu DUN yang dimenangi mereka ketika itu (yakni di DUN Kemuning) hanya beroleh majoriti 2 undi. Tidak ada gangguan berlaku kepada pentadbiran kerana tiada pengkhianatan mana-mana Yang Berhormat, mahupun campur tangan istana. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyempurnakan mandat rakyat tanpa menerima mana-mana katak politik, atau bekerja dengan pengkhianat. Justeru, konon Johor memerlukan mandat rakyatnya demi sebuah kerajaan yang stabil adalah mitos. Kerajaan Kelantan pernah bertahan sehingga Pilihan Raya Umum tanpa perlu membazir wang rakyat. Kamu berdiri di hadapan peti undi tanpa sebab di Pilihan Raya Negeri Johor ini kerana ada mitos tentang kestabilan. Kamu tidak percaya kepada mitos ini.
12 Mac, kamu adalah pengundi di Johor, kamu sudah merendam sebatang jari ke dalam dakwat untuk melakukan satu tanggungjawab sebagai rakyat, iaitu memilih sebuah kerajaan yang stabil. Konon!
Kamu berderau darah memikirkan kos Pilihan Raya Johor adalah RM96 juta. Tidakkah itu satu pembaziran, dan pembaziran itu tidakkah sangat syaitani? Berapa banyakkah mulut si miskin dan si melarat dapat disuap dengan RM96 juta? Berapa banyak sekolah dapat dibaiki dengan RM96 juta? Berapa banyak hospital dapat dinaiktaraf dengan RM96 juta? Berapa banyak sungai dapat didalamkan agar tidak melimpah membanjir kampung dengan RM96 juta? Berapa banyak dapat dilakukan dengan RM96 juta? Tetapi kamu kini menjadi sebahagian dari pembaziran ini kerana kamu pengundi Johor dipermainkan oleh kuasawan. Melainkan, kamu tidak tunduk. Kamu berdiri di hadapan peti undi tanpa sebab di Pilihan Raya Johor ini kerana ada mitos tentang kestabilan. Kamu tidak percaya kepada mitos ini.
12 Mac, kamu adalah pengundi di Johor, kamu sudah merendam sebatang jari ke dalam dakwat untuk melakukan satu tanggungjawab sebagai rakyat, iaitu memilih sebuah kerajaan yang stabil. Konon!
Apakah kerajaan stabil yang ingin kamu perolehi? Kamu malah tidak mampu memiliki sebuah rumah pun untuk didiami. Stabil apa? Kamu bahkan tidak berkemampuan memiliki kediaman. Ini kerana kemampuan kamu membeli sebuah rumah bukan sahaja tertumpu kepada pendapatan diri kamu, mahupun isi rumah. Kamu tahu ia lebih daripada itu, kamu tahu kamu tiada kebolehan untuk melakukan pinjaman rumah dan kebolehan untuk membayar pinjaman. Kamu berdiri di hadapan peti undi tanpa sebab di Pilihan Raya Johor ini kerana ada mitos tentang kestabilan. Kamu tidak percaya kepada mitos ini.
12 Mac, kamu adalah pengundi di Johor, kamu sudah merendam sebatang jari ke dalam dakwat untuk melakukan satu tanggungjawab sebagai rakyat, iaitu memilih sebuah kerajaan yang stabil. Konon!
Sebagai pengundi kamu tahu yang hidup kamu tidak berubah kerana hidup kamu bergantung kepada keadaan ekonomi negara. Kamu tahu terdapat bidang makroekonomi dan mikroekonomi dalam sesebuah negara. Anak bongsu kamu yang belajar akaun di sekolah dan anak sulung kamu yang mengambil subjek ekonomi di universiti sudah menjelaskan kepada kamu yang makroekonomi berfungsi untuk mengukur kadar inflasi negara, kadar pengangguran, nilai semua hasil perkhidmatan dan barangan yang dihasilkan, perkembangan ekonomi di peringkat negara serta kestabilan politik. Kestabilan hanya berlaku apabila sesebuah pentadbiran kerajaan tidak diganggu oleh kuasawan yang tidak perlu. Di Kelantan antara 2005 sehingga 2008 meskipun hanya memerintah dengan satu kerusi, Nik Abdul Aziz tidak perlu berdepan dengan Pilihan Raya Negeri, kerana tiada kelapak kuasa, tamak wang ringgit. Kamu berdiri di hadapan peti undi tanpa sebab di Pilihan Raya Johor ini kerana ada mitos tentang kestabilan. Kamu tidak percaya kepada mitos ini.
12 Mac, kamu adalah pengundi di Johor, kamu sudah merendam sebatang jari ke dalam dakwat untuk melakukan satu tanggungjawab sebagai rakyat, iaitu memilih sebuah kerajaan yang stabil. Konon!
Kamu masih hidup susah. Harga barangan harian terus meningkat. Kos menyara anak di universiti di Lembah Kelang makin menekan. Anak kamu yang belajar ekonomi itu memberitahu betapa kesan inflasi dapat dilihat apabila harga barangan di pasaran meningkat secara berterusan. Maka itulah sebab kamu tidak lagi punya kuasa membeli. Inilah juga sebabnya kamu tidak mampu membeli sebuah rumah pun. Di Johor Bahru harga sebuah rumah adalah berpurata RM323,823 pada tahun 2017 yang lalu. Jadi kamu marah. Kamu masih ingat pada 2018 kamu tekad di hadapan peti undi untuk menukar enjin dan kapal sekaligus. Kerana kamu serik. Kamu jeran. Kamu meluat. Kamu geram. Kamu amuk. Kamu mahu sebuah kerajaan yang stabil. Tetapi malang ada pengkhianatan. Dan kini, tidak sempat-sempat mereka menunggu satu lagi Pilihan Raya Umum, sikap dan perasaan kamu pada 2018 itu digugat sekali lagi. Kamu berdepan dengan pembaziran Pilihan Raya Negeri sebanyak RM96 juta. Padahal berapa banyak rumah yang dapat dibina untuk didiami di Johor dengan RM96 juta? Berapa banyak wang boleh menampung anak-anak di universiti seperti anak kamu? Kamu berdiri di hadapan peti undi tanpa sebab di Pilihan Raya Johor ini kerana ada mitos tentang kestabilan. Kamu tidak percaya kepada mitos ini.
12 Mac, kamu adalah pengundi di Johor, kamu sudah merendam sebatang jari ke dalam dakwat untuk melakukan satu tanggungjawab sebagai rakyat, iaitu memilih sebuah kerajaan yang stabil. Konon!
Kamu memang perlu pulang ke Mersing untuk mengundi. Kamu bimbang akan ada anak-anak muda yang disogok RM20-RM30, mungkin lebih, oleh kuasawan. Supaya anak-anak ini yang dapat mengisi tangki minyak motosikal dan bot itu merendam jari dalam dakwat dan mengundi sekali lagi untuk penghinaan yang kamu alami. Penghinaan dek tidak punya kediaman. Penghinaan dek dipermainkan kuasawan. Penghinaan dek dilacurkan hak kamu. Penghinaan sehingga kamu tidak mampu membeli setin sardin atau sepapan telur. Penghinaan kerana kamu kini hanya terkulat melihat warga luar mengisi rumah-rumah yang dibina indah di negeri sendiri. Kamu ingin berubah, dan melakukan sesuatu. Tetapi kamu melihat ada ramai di keliling kamu sanggup menyerah undi menerima sogok rasuah yang merosak negara, demi membolehkan kuasawan terus tamak haloba dan berkuasa. Kamu pulang mengundi kerana khuatir kamu dihina. Kamu celik politik, tetapi ada anak-anak memilih untuk membaham duit mengisi dompet lantas memilih mereka yang akan terus menghinjak kamu. Kamu celik politik, tetapi ada wak dan tok dan di kampung yang senang ditipu dengan sekampit beras seikat sayur selama dua minggu tempoh berkempen. Kamu jijik. Kamu tidak sanggup lagi. Kamu tahu kamu tidak mahu diperkosa lagi. Kamu berdiri di hadapan peti undi tanpa sebab di Pilihan Raya Johor ini kerana ada mitos tentang kestabilan. Kamu tidak percaya kepada mitos ini. Ini mitos berharga RM96 juta.
12 Mac, kamu inginkan kapal dan enjin yang munasabah, bukan kapal korek menghenyak pasir. Kamu berdiri di hadapan peti undi tanpa sebab di Pilihan Raya Johor 12 Mac itu kerana kamu berpengertian. Kamu benci permainan kuasawan. 12 Mac, kamu adalah pengundi di Johor, kamu sudah merendam sebatang jari ke dalam dakwat untuk melakukan satu tanggungjawab sebagai rakyat, iaitu, mengajar kuasawan bahawa 12 Mac itu milik kamu.