HADI- TAK PASAL PASAL ORANG PANGGE BODO- TAK MALU KE BUDAK BUDAK KAH ?

 

MUDA ditubuhkan DAP? Betul-betul bodoh, Naib Presiden bidas Hadi





Pemimpin MUDA dan Amanah menggesa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menghentikan ‘cakap-cakap politik bodoh’ berdasarkan sentimen kaum dan agama yang ‘lapuk serta tidak relevan’.

GEORGE TOWN: Pemimpin MUDA dan Amanah yang tersinggung dengan dakwaan Abdul Hadi Awang bahawa parti mereka ditubuhkan DAP untuk memancing pengundi Melayu, berkata generasi muda tidak akan terpedaya dengan dongeng itu.

Zaidel Baharuddin.

Naib Presiden MUDA, Zaidel Baharuddin menyifatkan Presiden PAS itu “bodoh” memikirkan parti berasaskan anak muda itu disokong DAP.

“Saya tidak percaya hari ini dan pada zaman ini, kita masih perlu menjawab kebodohan sedemikian.

“MUDA tidak diasaskan DAP, sama seperti tiada cip nano 5G dimasukkan (jutawan) Bill Gates dalam vaksin kita. Rakyat letih, bimbang dan sakit dari segi mental dengan apa yang berlaku.

“Jika apa yang boleh ditawarkan PAS kepada pengundi adalah ceramah dongeng politik bodoh, mungkin pengundi perlu mempertimbangkan alternatif lebih baik, lebih baru dan kompeten,” katanya kepada FMT.

Zaidel berkata, lebih baik PAS memfokuskan dasar, perancangan dan tindakan kerajaan persekutuan ketika negara berdepan krisis ekonomi serta kesihatan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Faiz Fadzil menyifatkan dakwaan Hadi adalah skrip lama yang diulang kerana PAS bimbang pengundi Melayu akan mula memilih politik nilai dan bukannya sentimen.

Faiz Fadzil.

Katanya, PAS menjadikan DAP sebagai “punching bag” sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi, tetapi ia gagal kerana rakyat mahukan perubahan.

Anak bekas Presiden PAS, Fadzil Noor itu berkata, agenda perjuangan Amanah dan MUDA adalah untuk membela rakyat berbilang kaum.

“Inilah yang ditakuti PAS kerana apabila rakyat tidak lagi melayan sentimen perkauman dan agama sempit, PAS akan disingkirkan rakyat.

“Kepada Haji Hadi, cukuplah menjadi ‘driver’ kereta buruk dengan menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai modal politik, sedangkan ia isu yang sudah lapuk dan tidak relevan kepada generasi muda.”

Syahredzan Johan.

Syahredzan Johan daripada DAP berkata, partinya tidak perlu menubuhkan parti lain kerana ia wujud dan aktif dalam politik negara sejak beberapa dekad lalu.

“Dakwaan terbaharu Hadi sekadar dakwaan tidak masuk akal dalam senarai panjang perkara yang merupakan ‘salah DAP’ yang digunakan musuh politik terhadap kami.

“Beliau patut melihat ke dalam dan tanya kenapa generasi muda, khasnya anak muda Melayu menjauhi partinya,” kata Ketua DAP Pusat Bandar Shah Alam itu sambil menambah dakwaan itu tidak menghormati hak rakyat menubuhkan persatuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam ceramah di Kota Tinggi baru-baru ini, Hadi mengingatkan pengundi Melayu tidak memilih MUDA, yang didakwanya ditubuhkan DAP, sama seperti Amanah, untuk memancing undi orang Melayu.